LONDON – Bintang Manchester United, Bruno Fernandes menggalas dua misi peribadi pada perlawanan getir bertemu Chelsea di Stamford Bridge, awal pagi esok.
Selain harapan mengembalikan rentak kemenangan pasukan, dengan baki saingan musim ini pemain kebangsaan Portugal itu berpeluang merekodkan 20 bantuan jaringan bagi menyamai rekod terbanyak untuk tempoh semusim milik Thierry Henry dan Kevin De Bruyne.
Ketika ini, Fernandes tampil sebagai watak utama kepada prestasi The Red Devils dan sudah pun merekodkan 17 bantuan jaringan dan hanya memerlukan empat lagi bagi melakar catatan baharu.
“Sudah pasti perlawanan menentang Chelsea cukup penting buat kami, seperti saya katakan sebelum ini, segalanya kini berada dalam tangan kami sendiri. Terserah kepada kami untuk mendapatkan mata dan berada di kelompok empat terbaik.
“Kelab tidak mampu janjikan kejuaraan Liga Perdana Inggeris kerana itu bukan tugas yang mudah, tetapi mereka janjikan kepada saya bahawa pasukan ini akan kekal menjadi kompetitif, itu sudah mencukupi.
“Hanya itu yang saya mahu tahu kerana selebihnya terserah kepada saya sendiri untuk menjadi yang terbaik bagi membantu rakan sepasukan dan menjadikan kelab ini yang terbaik seperti kami mahukan,” katanya.
Henry berjaya melakukan 20 umpanan jaringan ketika musim 2002/03, manakala De Bruyne mengulangi pencapaian itu pada edisi 2019/20. – AGENSI














