fbpx
Muhammad Hazman.

Hazman hilang selepas selisih faham dengan isteri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MELAKA – Polis memohon bantuan orang ramai bagi mengesan seorang lelaki yang dilaporkan hilang selepas keluar dari rumahnya di Taman Sutera Wangi, Batu Berendam sejak 14 April lalu.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, lelaki dikenali sebagai Muhammad Hazman Supian, 35, itu dikatakan telah keluar rumah tanpa membawa pakaian atau kenderaan selepas berlaku perselisihan faham dengan isterinya.

“Pada pukul 2.30 petang, pengadu menerima notifikasi memaklumkan suaminya telah meninggalkan rumah dan lokasi terakhir dikesan di sekitar Jalan TU 64, Ayer Keroh sebelum telefon bimbitnya dimatikan.

“Pengadu yang juga isterinya yang juga berusia 35 tahun telah berusaha menghubungi lelaki berkenaan juga gagal apabila telefonnya tidak lagi aktif, sekali gus menyukarkan usaha mengesannya,” katanya kepada pemberita hari ini.

Tambahnya, semakan transaksi mendapati kad debit milik lelaki itu digunakan di stesen minyak Petronas Tun Kudu kira-kira pukul 10.11 malam pada hari kejadian.

“Siasatan melalui rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) mendapati lelaki itu dilihat datang dari arah Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Katil menuju ke Petronas Tun Kudu sekitar pukul 9.26 malam sebelum memasuki tandas dan membeli makanan.

“Dia kemudian dilihat beredar sekitar pukul 10.30 malam dengan berjalan kaki melintas ke arah Taman Pengkalan Jaya dan selepas itu tidak lagi dapat dikesan,” ujarnya.

Menurut Christopher, sehingga kini lelaki terbabit masih belum pulang ke rumah dan usaha mengesannya termasuk ke rumah ahli keluarga terdekat juga tidak berhasil.

Hazman digambarkan berketinggian kira-kira 170 sentimeter dengan berat 46 kilogram, berkulit cerah, berbadan kurus, berambut pendek hitam serta mempunyai tatu di tangan kiri dan tahi lalat besar di bahagian kanan hidung.

Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Sarjan Masli Ali di talian 016-338 8846 atau tampil ke balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.- KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN