fbpx
Perkongsian wanita itu di Threads turut mendapat perhatian pengguna lain berhubung kejadian yang berlaku.

‘38 seluar dalam suami digunting lelaki berkopiah’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Seorang wanita meluahkan tekanan emosi yang dialaminya selepas mendakwa 38 helai seluar dalam milik suaminya digunting oleh seorang lelaki berjubah dan berkopiah dalam satu kejadian yang berlarutan sejak beberapa tahun lalu.

Perkongsian wanita itu di Threads menarik perhatian ramai apabila dia mendakwa kejadian tersebut bukan sahaja melibatkan pakaian dalam, malah turut merosakkan seluar uniform kerja kerja suaminya.

Menurut wanita berkenaan, individu terbabit dipercayai bertindak berulang kali dengan memasuki rumah mereka secara senyap menggunakan kunci yang didakwa dicuri ketika mereka menunaikan umrah pada tahun 2023.

“Sebanyak 38 helai seluar dalam suami saya telah digunting. Kami mula curiga apabila pakaian sering rosak tanpa sebab sebelum memasang televisyen litar tertutup (CCTV),” katanya dalam hantaran tersebut.

Dakwanya lagi, rakaman CCTV berjaya merakam kelibat seorang lelaki berjubah dan berkopiah yang dipercayai masuk ke rumah mereka beberapa kali, termasuk ketika bulan Ramadan tahun lalu.

“Ketika kejadian terakhir, dia didakwa menggunting seluar uniform suami saya selepas tiada lagi pakaian dalam yang tinggal untuk dirosakkan,” katanya.

Wanita itu turut mendakwa suspek sering mengambil kesempatan ketika dia pulang ke kampung bersama anak-anak, manakala suaminya bekerja syif malam.

Lebih mengecewakan, menurutnya, walaupun tindakan telah diambil termasuk arahan berpindah terhadap individu tersebut, suspek didakwa berpura-pura mengalami masalah kesihatan mental sebelum dibenarkan kekal bertugas di tempat sama.

“Masa diarahkan pindah, dia sambung cuti sakit dan tunjuk seperti tertekan. Tetapi sebaik sahaja isu reda, dia kembali aktif seperti biasa termasuk menjadi imam di surau,” katanya.

Wanita itu berkata, mereka sekeluarga memilih untuk berdiam diri sejak 2024 dan tidak menularkan kes tersebut, namun keadaan yang berlarutan telah menjejaskan kesihatan mentalnya sehingga mendapatkan rawatan perubatan.

“Saya hanya mahukan keadilan untuk suami dan keluarga kami. Saya juga ada bukti termasuk rakaman CCTV,” ujarnya.

Perkongsian wanita itu turut mendapat perhatian pengguna Threads yang lain dan ramai menuntut tindakan pihak berkuasa untuk segera menyiasat perkara tersebut termasuk menangkap si pelaku.

“Semoga mendapat keadilan dan bebas daripada kezaliman pelaku. Kejahatan tak kan bertahan. Kalau dia pura-pura gila, bimbang itulah yang menjadi makanannya nanti. Dia menyusahkan hidup orang, takut-takut Allah susahkan kehidupannya nanti,” komen Fedtriyahya.

“Viral je CCTV, viral je muka. Dah viral baru lah lagi laju orang buat keje. Kalau akak tak nak viral, ugut dulu nak viral,” cadang Luqira.

“Kenapa ni ? Cinta ditolak ke? Cuba tanya suami betul-betul, ada masalah apa dia dengan suami…dia memang attack (sasar) suami puan je ke atau ada mangsa lain? Pelik lah,” kata @pinkmeow6.

“Tak boleh ke puan buat umpan tabur paku ke depan pintu. Tabur kaca ke, biar mendapat sikit masa dia curi-curi masuk rumah. Ini saiko tahap tinggi ni,” kata Ainnidzan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN