KUANTAN – Empat pekerja lelaki sebuah kilang besi cedera selepas berlaku letupan di kilang berkenaan dekat Gebeng di sini hari ini.
Berdasarkan rakaman video berdurasi enam saat yang tular menyaksikan seorang lelaki cedera parah dengan bahagian tangan kanannya hancur dan berlumuran darah, manakala seorang lagi pekerja melecur di bahagian belakang badan.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Ashari Abu Samah berkata, berdasarkan laporan polis kejadian kira-kira pukul 9.30 pagi itu melibatkan empat lelaki terdiri daripada seorang warga tempatan dan tiga warga asing.
“Kesemua mangsa mengalami kecederaan dan telah dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan menggunakan ambulans syarikat untuk mendapatkan rawatan lanjut.
“Siasatan awal di lokasi mendapati kejadian dipercayai berpunca daripada satu letupan melibatkan peralatan industri di dalam premis berkenaan,” katanya di sini hari ini.
Menurutnya, sepasukan anggota polis dari Balai Polis Gebeng telah digerakkan ke lokasi kejadian bagi menjalankan siasatan lanjut.
Katanya, pihak polis sedang bekerjasama dengan pihak berkaitan termasuk pengurusan kilang dan agensi keselamatan serta kesihatan pekerjaan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian.
“Orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan.
“Sebarang maklumat berkaitan kejadian boleh disalurkan kepada pihak polis bagi membantu siasatan,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE














