LONDON – Pengurus interim Manchester United, Michael Carrick dilapor hilang sokongan daripada pihak pengurusan kelab itu susulan kekalahan kepada Leeds United 1-2 di Old Trafford Isnin lalu.
Biarpun berjaya membantu pasukan itu meraih tujuh kemenangan dalam 11 perlawanan, kekalahan kepada Leeds dianggap sukar diterima ketika mereka memerlukan kemenangan untuk mengukuhkan kedudukan bagi melayakkan diri ke Liga Juara-Juara.
Keputusan itu menyebabkan Carrick dilihat masih belum berjaya meyakinan pihak pengurusan United untuk melantiknya sebagai pengendali tetap kelab itu bermula musim depan.
Perkembangan berkenaan menyaksikan United terus mengintai beberapa calon berprofil tinggi untuk dilantik ke jawatan berkenaan dengan Jurulatih Paris Saint-Germain, Luis Enrique berada dalam senarai paling atas.
Selain Enrique, pengendali skuad kebangsaan Jerman, Julian Nagelsmann juga menjadi satu lagi nama yang dilabel sebagai calon pilihan untuk dipilih oleh United ketika beliau dijangka kembali meneruskan kariernya di kelab selepas Piala Dunia.
Selain itu, Pengurus Aston Villa, Unai Emery, Oliver Glasner (Crystal Palace), Andoni Iraola (Bournemouth) turut berada dalam senarai, malah sebelum ini United turut dikaitkan dengan dua pengurus yang sedang mengemudi pasukan kebangsaan ketika ini.
Nama pengendali England Thomas Tuchel turut berada dalam pertimbangan, manakala Carlo Ancelotti yang membimbing Brazil ketika ini dianggap sesuai dengan falsafah bola sepak kelab berkenaan. – AGENSI














