SELAYANG – Seorang pemilik rumah kebajikan didakwa lagi di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas empat pertuduhan menganiaya dua kanak-kanak dan dua remaja serta satu pertuduhan mengendalikan pusat jagaan yang tidak berdaftar.
Bagaimanapun tertuduh S. Valan, 31, mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim, Norazlin Othman dan Majistret Chai Guan Hock.
Di Mahkamah Sesyen, dia didakwa atas empat pertuduhan iaitu sebagai penjaga pusat jagaan yang mempunyai pemeliharaan ke atas empat mangsa iaitu dua lelaki berusia 11 dan 17 tahun serta dua perempuan berusia lapan dan 16 tahun telah menganiaya sehingga menyebabkan kecederaan fizikal pada tubuh mereka.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah pusat jagaan kanak-kanak, Batu Caves, Gombak antara 2023 hingga 2025.
Bagi Setiap pertuduhan pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak melebihi 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Kamarul Iman Ahmad Sapian mencadangkan tertuduh diberi ikat jamin yang tinggi kerana kes berkenaan serius dan tular di media sosial.
“Saya mohon mahkamah menetapkan jaminan sebanyak RM20,000 bagi setiap pertuduhan,” katanya.
Bagaimanapun peguam, Nur Amalia Daud yang mewakili tertuduh merayu, anak guamnya diberi ikat jamin pada kadar minimum dan bersedia untuk memenuhi syarat tambahan.
Beliau berkata, Valan tidak berisiko untuk mengganggu saksi pendakwaan memandangkan rumah kebajikan tersebut telah ditutup oleh pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Selepas mendengar permohonan daripada kedua-dua pihak, Hakim Norazlin membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM40,000 dengan seorang penjamin, bagi empat pertuduhan tersebut.
Mahkamah turut mengenakan syarat tambahan iaitu tertuduh perlu melaporkan diri di balai polis sekali setiap bulan serta tidak mengganggu saksi dan menetapkan sebutan semula kes pada 19 Jun ini.
Sementara itu di Mahkamah Majistret, lelaki itu mengaku tidak bersalah atas satu pertuduhan, mengendalikan pusat jagaan kanak-kanak yang tidak berdaftar lokasi sama pukul 8 malam pada 3 April lalu.
Justeru pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 5(1) Akta Pusat Jagaan 1993, pindaan 2007 dan boleh dihukum bawah Seksyen 5(2) akta sama, yang membawa hukuman denda maksimum RM10,000 atau dipenjarakan tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Majistret Guan Hock kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM2,500 dengan seorang penjamin dan menetapkan sebutan kes pada tarikh sama.
Sebelum ini tertuduh telah didakwa dan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ampang, atas empat pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap empat kanak-kanak lelaki berusia antara 13 hingga 16 tahun antara 18 Mac 2019 dan Mac lalu.
Lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 14(a) dan Seksyen 14(b) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun serta sebatan, jika sabit kesalahan. – KOSMO! ONLINE














