SINGAPURA – Harga beras melonjak ke paras tertinggi dalam tempoh lebih dua tahun disebabkan kebimbangan berhubung prospek bakalan, lapor laman berita Business Times semalam.
Situasi itu berlaku selepas kos bahan api dan baja meningkat akibat perang Amerika Syarikat (AS)-Israel ke atas Iran, mendorong sebahagian petani di Thailand menangguhkan menanam padi.
Harga beras putih Thailand yang menjadi penanda aras utama di rantau Asia meningkat 10 peratus kepada AS$423 (RM1,672) satu tan bagi minggu berakhir 8 April lalu, kenaikan terbesar sejak Ogos 2023.
Walaupun ia merupakan petanda awal peningkatan kos input mula menjejaskan pasaran, harga sebelum ini berada dalam trend menurun yang berpanjangan dan baru-baru ini, hampir mencecah paras terendah dalam tempoh lebih sedekad.
Penganalisis komoditi kanan Rabobank di Singapura, Oscar Tjakra berkata, sebahagian petani di Thailand menangguhkan penanaman padi kerana keuntungan yang diperoleh tidak mencukupi untuk menampung kos yang melambung tinggi.
Keadaan mencabar itu diburukkan lagi oleh musim kering yang panjang, sekali gus mengurangkan hasil tuaian dan mengehadkan bekalan semasa.
Beliau menambah, pengukuhan nilai baht selain peningkatan kos penghantaran dan insurans akibat perang di Asia Barat, turut menyumbang kepada lonjakan harga beras.
Data Jabatan Pertanian Amerika Syarikat menunjukkan Thailand merupakan pengeksport beras ketiga terbesar dunia.
Petani di negara itu bersama negara serantau lain kini menuai hasil luar musim dan bersiap sedia untuk musim penanaman utama yang dijangka bermula seawal bulan depan.
Presiden Donald Trump memberi bayangan kemungkinan untuk menamatkan perang dengan Iran yang memberikan sedikit kelegaan kepada pasaran lebih luas.
Bagaimanapun, aliran bekalan bahan api dijangka mengambil masa untuk kembali normal melalui Selat Hormuz. – AGENSI














