fbpx
Anwar dan Albanese akan mengadakan pertemuan dua hala di Putrajaya esok.

Isu krisis tenaga agenda pertemuan Anwar, Albanese esok

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PUTRAJAYA- Isu krisis tenaga global dan sekatan Amerika Syarikat di Selat Hormuz disifatkan menjadi antara agenda utama perbincangan dua hala antara Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Perdana Menteri Australia, Anthony Albanese esok.

Jurucakap Kerajaan Madani, Datuk Fahmi Fadzil berkata, Jemaah Menteri hari ini dimaklumkan mengenai lawatan rasmi Perdana Menteri Australia esok.

Beliau yang juga Menteri Komunikasi berkata, selain mengeratkan hubungan antara dua negara, beberapa perjanjian persefahaman akan ditandatangani.

“Perbincangan kedua-dua pemimpin antara lain akan berkisar berhubung krisis tenaga global yang dihadapi seluruh dunia pada ketika ini.

“Isi kandungan ataupun agenda khusus mengenai pertemuan yang akan diadakan antara kedua-dua pemimpin itu belum lagi dilaporkan ataupun dimaklumkan kepada Jemaah Menteri,” katanya pada sidang akhbar mingguan pasca mesyuarat Kabinet di sini, hari ini.

Katanya, beliau percaya Perdana Menteri akan bangkitkan pendirian Malaysia mengenai isu konflik di Asia Barat dan sudah pasti isu mengenai keadaan sekatan yang berlaku di Selat Hormuz.

Untuk maklumat, Albanese akan diberikan sambutan rasmi di Kompleks Perdana Putra diikuti dengan pertemuan tertutup dengan Perdana Menteri menerusi lawatan rasmi beliau ke Malaysia.

Selepas pertemuan itu, kedua-dua pemimpin dijadualkan menyaksikan pertukaran beberapa MoU sebelum menghadiri jamuan makan tengah hari di Kompleks Seri Perdana.

Australia adalah rakan ekonomi yang penting bagi Malaysia dengan berada pada kedudukan ke-12 sebagai rakan dagang terbesar Malaysia pada 2025, merekodkan jumlah perdagangan dua hala bernilai RM78.63 bilion.

Pada masa sama, Malaysia adalah pembekal utama bahan api kepada Australia merangkumi kira-kira 17 peratus daripada jumlah import bahan api Australia. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN