fbpx
Aliran trafik lancar di Lebuh Raya Persekutuan di Shah Alam semalam pada hari pertama BDR.

‘Boleh jimat RM100 seminggu termasuk duit makan’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SHAH ALAM – Pelaksanaan dasar bekerja dari rumah (BDR) yang bermula semalam bukan sahaja melancarkan aliran trafik pada waktu puncak kepada penjawat awam, malah membantu menjimatkan kos harian.

Ada antara mereka mampu menjimatkan kos mengisi petrol dan tol sehingga melebihi RM30 sehari bagi perjalanan ulang-alik dari rumah ke pejabat mereka.

Kos itu juga belum termasuk perbelanjaan makan minum ha­rian yang perlu ditanggung setiap kali hadir bekerja di pejabat.

Seorang penjawat awam, Nur Shahirah Zulkifli, 37, berkata, dia jimat lebih RM20 untuk mengisi petrol dari rumahnya di Shah Alam ke pejabatnya di Putrajaya, yang jaraknya lebih 30 kilometer (km) untuk perjalanan sehala.

“Bayaran tol juga jimat lebih RM5 untuk perjalanan sehala. Apa yang lebih seronok, tidak perlu hadap kesesakan pergi dan balik kerja,” katanya yang juga pegawai perhubungan awam di sebuah jabatan kerajaan.

Seorang lagi penjawat awam, Muhammad Zainal Ahmad Zohdi, 35, berkata, dia tidak perlu meredah kesesakan lalu lintas dan membolehkannya memulakan kerja lebih awal.

Bekerja di bahagian kewangan, sebuah jabatan kerajaan, Muhammad Zainal berkata, tugasan yang dilakukan boleh dibuat di rumah menggunakan komputer riba.

“Asalkan ada perisian dan akses internet baik, saya boleh buat kerja di mana sahaja,” katanya.

Di Putrajaya, seorang penjawat awam, Muhamad Aizat Zarif Mohd Zunaidi, 27, berkata, sebelum ini dia perlu bersiap se­awal pukul 7 pagi sebelum mengambil masa perjalanan kira-kira 40 minit ke tempat kerja.

“Dengan BDR, saya boleh terus mula bekerja dari rumah tanpa perlu bersiap dan menghadapi kesesakan. Masa lebih jimat dan kurang stres kerana tidak perlu memandu dalam keadaan jalan sesak,” ujarnya.

Katanya, BDR turut memberi manfaat dari segi kewangan apabila perbelanjaan harian dapat dikurangkan dengan ketara.

“Sebelum ini saya membelanjakan sekitar RM30 seminggu untuk minyak, namun dengan BDR, saya boleh jimat hampir RM100 termasuk kos makan kerana boleh masak di rumah,” katanya.

Nur Azreen Anis Jamal Amidy, 24, berkata, selama ini dia bergantung kepada perkhidmatan awam dan e-hailing.

“Dengan BDR, saya tak perlu lagi fikir soal kesesakan, kelewatan pengangkutan tren serta kos e-hailing yang boleh mencecah sehingga RM30 sehari,” ujarnya.

Lebih 200,000 penjawat awam telah melaksanakan BDR bermula semalam susulan krisis tenaga glo­bal sebagai usa­ha penjimatan kos.

Pelaksanaan BDR selama tiga hari seminggu itu hanya terpakai kepada penjawat awam di Putrajaya, Kuala Lumpur, Selangor dan semua ibu negeri yang tinggal dalam jarak lebih lapan kilo­meter dari pejabat.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN