GEORGE TOWN – Polis mengesahkan penahanan seorang lelaki yang tular selepas dipercayai mencederakan dua individu sehingga salah seorang daripada mereka mengalami kecederaan parah dalam kejadian di Teluk Air Tawar, Butterworth di sini, baru-baru ini.
Timbalan Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Superintendan C. Tharmalingam berkata, bagaimanapun siasatan berhubung kejadian tersebut masih dijalankan.
“Siasatan telah dilakukan dan saspek telah ditangkap. Kes dalam siasatan,” katanya di sini, petang tadi.
Difahamkan, suspek berusia 40-an itu diberkas di lokasi berhampiran petang tadi manakala kejadian berlaku kira-kira 8.50 malam di sebuah kawasan perumahan.
Terdahulu, tular satu rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) yang memaparkan tindakan seorang lelaki yang bertindak mencederakan dua dipercayai menggunakan senjata tajam dipercayai menggunakan parang.
Menerusi video yang berdurasi 1 minit 30 saat itu, salah seorang daripada mangsa dilihat rebah manakala seorang lagi berjaya menyelamatkan diri.
Susulan kejadian itu, wajah didakwa si pelaku juga mula tersebar di media sosial sejak semalam bagi tujuan membantu mengesan suspek terlibat. -KOSMO! ONLINE














