SUNGAI PETANI – Seorang wanita warga emas yang dipercayai tinggal bersendirian ditemukan meninggal dunia di rumahnya di Taman Ria Jaya di sini hari ini.
Mayat mangsa berusia 69 tahun ditemukan kira-kira pukul 9 pagi selepas jiran terhidu bau kurang menyenangkan dari rumah tersebut sebelum melaporkannya kepada pihak polis.
Pasukan polis dan bomba yang tiba kemudian bertindak memecahkan pintu rumah berkenaan sebelum menemukan mangsa di salah sebuah bilik.
Berdasarkan keadaan mayat, wanita terbabit dipercayai telah meninggal dunia sejak empat hari lalu.
Difahamkan, mangsa tinggal bersendirian selepas suaminya meninggal dunia kira-kira dua bulan lalu.
Selain bau busuk, beberapa jiran turut curiga apabila mangsa tidak kelihatan sejak beberapa hari lalu.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hanyan Ramlan berkata, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.
“Mangsa dipercayai sudah meninggal dunia sejak empat hari lalu berdasarkan keadaan mayat semasa ditemui,” katanya di sini hari ini.
Mayat mangsa dibawa ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) untuk dibedah siasat. – KOSMO! ONLINE














