JOHOR BAHRU – Seramai 14 pelajar dan dua wanita didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan bergaduh, merusuh dan mendatangkan kecederaan di hadapan sebuah sekolah di Bandar Selesa Jaya, Skudai di sini, minggu lalu.
Seramai enam pelajar berusia 12 hingga 16 tahun mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Nabilah Nizam.
Sementara lapan lagi pelajar berusia 15 hingga 17 tahun mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan dibacakan di mahkamah yang sama.
Berdasarkan kertas pertuduhan, mereka menjadi ahli suatu perhimpunan menyalahi undang-undang dengan tujuan bersama-sama untuk bergaduh dan melakukan kesalahan merusuh sehingga menyebabkan kekerasan digunakan.
Perbuatan itu dilakukan di hadapan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Selesa Jaya di Jalan Silat Lincah, Bandar Selesa Jaya, Skudai pada pukul 12.45 tengah hari, Jumaat lalu.
Bagi perbuatan itu, kesemua mereka melakukan suatu kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan.
Semua mereka boleh dikenakan hukuman iaitu dilepaskan dengan amaran, bon berkelakuan baik, membayar dengan denda, perintah khidmat masyarakat, dihantar ke sekolah yang diluluskan atau dihantar ke Sekolah Henry Gurney, jika disabit kesalahan.
Mahkamah menetapkan 29 April ini untuk mendapatkan laporan akhlak, fakta dan perintah terhadap enam yang mengaku bersalah, manakala bagi lapan lagi, tarikh sama ditetapkan bagi serahan dokumen serta lantikan peguam.
Kesemua pelajar tersebut dibenarkan diikat jamin RM800 setiap seorang dengan seorang penjamin.
Di mahkamah sama, seorang wanita, R. Loganayagi, 36, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan dengan sengaja mendatangkan kecederaan terhadap salah seorang pelajar berusia 17 tahun pada pukul 12 tengah hari di lokasi dan hari yang sama.
Bagi perbuatan itu, wanita itu dituduh melakukan suatu kesalahan yang boleh dihukum dibawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sampai setahun atau dengan denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya, jika disabit kesalahan.
Mahkamah memerintahkan wanita tersebut dikenakan jaminan RM2,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 28 April ini sebagai tarikh sebutan semula.
Sementara itu, di mahkamah berasingan, S. Lakhsmy mengaku tidak bersalah di hadapan Majistret Atifah Hazimah Wahab bagi pertuduhan dengan sengaja mendatangkan kecederaan terhadap seorang pelajar berusia 17 tahun, pukul 12.10 tengah hari pada hari dan lokasi yang sama di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan.
Mahkamah membenarkan jaminan RM2,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 14 Mei ini untuk sebutan semula kes.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Anis Shafeeqah Mohd Shariffudin. – KOSMO! ONLINE














