Oleh LUQMAN RIDHWAN MOHD. NOR, AHMAD SHAHERMAN SHAMSURI dan EDDY HAMIDI
KUALA LUMPUR – Orang ramai menyifatkan insiden struktur kren terjatuh sehingga meragut tiga nyawa di tapak pembinaan Lebuh Raya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE), Persiaran Alam Damai, Cheras di sini kelmarin tidak sepatutnya berlaku.
Mereka yang ditemui Kosmo! semalam meluahkan rasa kecewa dengan kejadian itu kerana ia bukan kali pertama berlaku di kawasan pembinaan itu, malah sudah melibatkan banyak kemalangan.
Seorang penduduk, Mohd. Abbas Mohd. Noh, 44, berkata, mereka bagaikan menggadai nyawa setiap kali menggunakan jalan raya di kawasan tapak projek tersebut.
“Memang ngeri apabila terbayang-bayang jika dihempap objek yang jatuh dari tapak projek itu, tetapi kami tiada pilihan lain kerana laluan tersebut adalah satu-satunya pilihan yang ada untuk ke tempat kerja,” katanya.
Seorang penduduk yang mahu dikenali sebagai Sulaiman berkata, projek pembinaan SUKE terletak berhampiran kawasan padat penduduk dan laluan utama warga Alam Damai untuk keluar ke bandar seperti Kuala Lumpur dan Shah Alam.
“Bila-bila masa sahaja kren, konkrit atau besi-besi boleh jatuh di jalan raya. Kami hanya mampu berserah agar kejadian ini tidak berlaku kepada kami,” katanya.

Seorang penghantar makanan, Mohd. Zulfahmi Ismail, 31, berkata, dia terpaksa memberanikan diri menunggang motosikal di kawasan pembinaan SUKE demi mencari rezeki.
Biarpun sedar kejadian sedemikian bukan kali pertama berlaku, dia tiada pilihan lain untuk menghantar makanan di kawasan Alam Damai.
“Ini punca rezeki saya, biarpun tahu betapa bahaya menunggang di kawasan pembinaan, namun saya terpaksa.
“Harapan saya, paling tidak pun, pasanglah jaring keselamatan di sepanjang laluan projek pembinaan lebuh raya itu,” ujarnya.
Seorang pekerja swasta, Ramzan Razali, 29, pula berharap supaya projek tersebut segera disiapkan.
“Namun setakat ini, kita pun tidak tahu bila projek ini akan siap, ditambah lagi dengan insiden terbaharu ini, mungkin akan lebih lambat. Makin lambat disiapkan, makin berisiko pengguna jalan raya,” ujarnya.
Sementara itu, seorang peniaga yang dikenali sebagai Jejai, 40, memberitahu, sebelum kejadian yang meragut tiga nyawa di tapak pembinaan SUKE pukul 8.45 pagi kelmarin, dia telah melalui kawasan yang sama, 15 minit lebih awal.
Katanya, dia melalui kawasan kejadian pukul 8.30 pagi untuk menghantar anaknya ke sebuah sekolah berdekatan.
“Nasib baik kami awal 15 minit, kalau tidak mungkin kami juga jadi mangsa. Ini memang laluan saya bersama ramai lagi ibu bapa untuk menghantar dan mengambil anak setiap hari, tiada laluan lain.
“Setiap kali melalui laluan ini, saya hanya mampu berdoa agar tiada sebarang kejadian tidak diingini menimpa kami,” ujarnya.

Justeru, pengguna jalan raya dan penduduk berharap pihak pemaju, kontraktor projek SUKE serta kerajaan segera meningkatkan tahap keselamatan di tapak pembinaan.
Kosmo! semalam melaporkan projek pembinaan SUKE sekali lagi meragut nyawa apabila tiga pekerja pembinaan warga China maut selepas struktur kren bagi projek berkenaan terjatuh berhampiran Persiaran Alam Damai, Cheras, Kuala Lumpur semalam.
Kejadian pukul 8.45 pagi itu turut menyebabkan seorang pemandu lelaki parah pada kedua-dua belah kaki selepas kereta Perodua Bezza yang dipandunya remuk dihempap serpihan kren.
Mereka yang terkorban ialah Ding Kunfu, Jiang Jinboa dan Mu Tong Zheng.
Sementara itu, pasukan penyelamat semalam melakukan kerja-kerja penstabilan struktur di lokasi kejadian sebelum usaha untuk mengangkat komponen kren yang jatuh dapat dilakukan sekali gus mengeluarkan mayat Tong Zheng yang masih tersepit.
Projek SUKE sepanjang 24.4 kilometer sepatutnya siap pada akhir 2019 dan dijadualkan dibuka kepada pengguna pada Januari 2020.
Tindakan tegas terhadap pihak cuai kren jatuh – Prolintas
PETALING JAYA – Projek Lintasan Kota Holdings Sdn. Bhd. (Prolintas) akan mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang didapati cuai sehingga menyebabkan struktur kren terjatuh di tapak pembinaan projek Lebuh Raya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) di Persiaran Alam Damai, Cheras kelmarin.
Prolintas dalam satu kenyataan berkata, ketika ini siasatan sedang dijalankan pihak berkuasa dan pihaknya akan memberi kerjasama penuh dalam mengenal pasti punca sebenar kejadian.
“Ahli pengurusan dan Lembaga Pengarah Kumpulan Prolintas memandang serius tentang isu keselamatan awam dan pekerja-pekerja di tapak pembinaan.
“Pihak kami akan memastikan kebajikan mangsa serta keluarga yang terlibat dalam kejadian itu diberi perhatian sewajarnya,” katanya dalam satu kenyataan.
Prolintas turut mengalu-alukan komen, pandangan dan kritikan daripada pelbagai pihak berkaitan insiden yang berlaku sebelum ini dan juga kelmarin.
Sementara itu, Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) memaklumkan empat tindakan awal akan dilakukan bagi memastikan keselamatan pengguna dan orang awam terjamin semasa melalui kawasan pembinaan SUKE.

LLM dalam satu kenyataan berkata, tindakan itu diputuskan selepas Menteri Kanan Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof mengadakan mesyuarat bersama beberapa agensi semalam.
Menurut LLM, antara perkara yang diputuskan adalah pihak kontraktor telah diarahkan untuk memberhentikan kerja di tapak kecuali kerja menyelamat termasuk penstabilan struktur.
“Selain itu, pihak berkaitan perlu menyediakan akses sementara untuk penghuni Kondominium Puncak Banyan serta memaklumkan kepada pengguna lebuh raya berhubung pelan akses sementara di semua medium komunikasi.
“Pihak SUKE juga telah diminta untuk memeriksa semua launching gantry dan rasuk yang telah dilancarkan di tapak pembinaan,” katanya.
LLM memberitahu, pihak SUKE telah mendapat kelulusan penutupan penuh jalan sedia ada di Taman Leng Seng (Zon 2) dan Jalan Alam Damai (Zon 3).
Di Persiaran Alam Damai (Zon 1) pula, pihak SUKE perlu memastikan terdapat laluan alternatif terlebih dahulu sekiranya cadangan untuk menutup Persiaran Alam Damai dilaksanakan.
Dalam pada itu, Naib Pengerusi Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Kebangsaan (NIOSH), Datuk T. Mohan berkata, satu pasukan khas akan dibentuk untuk mengkaji dan mengenal pasti punca sebenar insiden tersebut.
“Hasil laporan akan diserahkan kepada pihak Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH) dan mereka akan menyiasat secara mendalam kes ini.
“Kajian yang dijalankan juga akan digunakan dalam menambah baik prosedur keselamatan dan kesihatan pekerjaan di tapak pembinaan selepas ini,” ujarnya.
Mengulas mengenai tindakan yang akan diambil terhadap pemaju dan kontraktor terbabit beliau berkata, keputusan itu bergantung kepada hasil siasatan DOSH dan pihak berkuasa.
“Mereka akan membuat keputusan sama ada projek ini akan ditukar kontraktor atau digantung pembinaan,” katanya.














