WASHINGTON – Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump memberi amaran untuk memusnahkan mana-mana bot Iran yang menghampiri sekatan tentera laut yang diarahkannya di sekitar pelabuhan negara itu.
Ancaman itu dibuat meskipun terdapat seruan antarabangsa agar gencatan senjata dihormati dan rundingan disambung semula.
Tentera AS berkata, sekatan itu yang sepatutnya bermula pukul 10 malam semalam (waktu Malaysia) terpakai kepada semua kapal yang berlepas atau ingin berlabuh di pelabuhan Iran.
Namun, apabila tarikh akhir berlalu, tiada pengumuman bahawa langkah itu telah berkuat kuasa, mahupun tanda-tanda sebarang pintasan.
Dalam catatan media sosial, Trump berkata, sebahagian besar tentera laut Iran telah pun musnah semasa perang, tetapi jika mana-mana daripada apa yang disifatkannya sebagai ‘kapal serangan pantas’ Tehran menghampiri sekatan itu, ia akan dihapuskan serta-merta.
Trump mengumumkan sekatan itu Ahad lalu selepas delegasi yang diketuai oleh Naib Presiden, JD Vance kembali dari pertemuan dengan pegawai Iran di Pakistan tanpa memperoleh perjanjian untuk menamatkan perang tersebut.
Rabu lalu, AS dan Iran bersetuju dengan gencatan senjata selama dua minggu untuk membolehkan rundingan diteruskan, manakala pengantara Pakistan dan Qatar masih menyeru agar ia dihormati ketika usaha diplomatik diteruskan.
“Gencatan senjata masih berterusan, dan ketika saya bercakap, usaha penuh sedang dijalankan untuk menyelesaikan isu-isu yang tertangguh,” kata Perdana Menteri Pakistan, Shehbaz Sharif.
Ketua Pertubuhan Maritim Antarabangsa, Setiausaha Agung Arsenio Dominguez berkata, tiada negara yang boleh melarang hak laluan tanpa kesalahan atau kebebasan navigasi melalui selat antarabangsa yang digunakan untuk transit antarabangsa. – AFP














