fbpx
Gambar hiasan.

Tiada isu kekurangan, elak pembelian panik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Orang ramai diminta tidak melakukan pembelian panik susulan perkembangan konflik di Asia Barat kerana bekalan barangan keperluan asas di negara ini masih mencukupi dan terkawal.

Ketua Pegawai Penguat Kuasa Negeri Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (KPDN WPKL), Mohd Shahran Mohd Arshad menegaskan, pihaknya sentiasa memantau serta menyelia harga barang bagi memastikan kestabilan pasaran sepanjang tempoh tersebut.

Menurut kenyataan itu, pemantauan bekalan dilakukan secara menyeluruh di 11 kawasan Parlimen di Kuala Lumpur bagi menjamin kelangsungan rantaian bekalan kepada pengguna.

“KPDN WPKL memberi jaminan bahawa bekalan barangan keperluan asas harian adalah mencukupi dan berada dalam keadaan terkawal,” katanya.

Selain itu, kementerian turut melantik Peruncit Terpilih Daerah (DDR) dan Pemborong Terpilih Daerah (DDW) bagi memastikan bekalan sentiasa tersedia di pasaran tanpa gangguan.

Dalam masa sama, sesi libat urus dengan syarikat pengeluar minyak turut dilaksanakan bagi memastikan bekalan petrol dan diesel mencukupi di semua stesen minyak termasuk di lebuh raya serta pusat bandar.

KPDN WPKL juga memperkukuh pemantauan menerusi Ops Tiris 4.0 bagi membanteras sebarang aktiviti penyelewengan melibatkan barangan kawalan.

Seramai 168 pegawai penguat kuasa dan pemantau harga telah digerakkan untuk memantau bekalan serta harga di seluruh Kuala Lumpur secara berterusan.

Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan agar tidak mudah percaya atau menyebarkan berita tidak sahih yang boleh mencetuskan kebimbangan awam, selain digesa melaporkan sebarang isu bekalan kepada pihak kementerian untuk tindakan segera. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN