SHAH ALAM – Seorang pekerja sebuah premis makanan berputih mata apabila telefon bimbit miliknya dilarikan seorang lelaki yang menyamar kononnya mahu membuat semakan pekerja di Setia Alam, di sini, kelmarin.
Kejadian berlaku kira-kira pukul 5.03 petang selepas mangsa merupakan seorang wanita berusia 20-an diperdaya suspek yang menggunakan taktik meminjam telefon bimbit sebelum melarikan diri.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Ramsay Emb berkata, berdasarkan rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) menunjukkan suspek
telah datang ke premis tersebut dan bertanyakan beberapa soalan kepada mangsa dengan alasan mahu membuat semakan berkaitan pekerja di cawangan tersebut.
“Dalam masa yang sama, suspek cuba membuat taktik meminjam telefon bimbit mangsa bagi tujuan membuat catatan berkaitan perkara diatas.
“Mangsa telah menyerahkan telefon bimbit dan suspek terus menghilangkan diri bersama telefon bimbit itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau menambah, usaha mengesan dan menangkap suspek kini giat dijalankan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Komersil Daerah Shah Alam.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun, sebat dan denda jika disabitkan kesalahan,” jelasnya.
Sehubungan itu, polis menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada dan tidak mudah mempercayai individu yang tidak dikenali, khususnya yang menggunakan taktik penyamaran bagi memperdaya mangsa.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kes diminta menghubungi Penolong Pegawai Penyiasat, Sarjan Ahmad Syahir Qayyum Ariff di talian 011-16621816 atau Ibu Pejabat Daerah Shah Alam di talian 03-55202222 bagi membantu siasatan
Terdahulu, tular hantaran aplikasi Threads memaparkan seorang wanita ditenangkan dua wanita lain selepas telefon bimbitnya dilarikan diri selepas didakwa dipukau seorang lelaki.
Malah, suspek juga membuka kunci telefon menggunakan Face ID sebelum membuka aplikasi Notes yang mengandungi pelbagai kata laluan termasuk akaun bank. – KOSMO! ONLINE














