fbpx
Pelajar Malaysia yang menetap di Thailand menggunakan motosikal melalui ICQS untuk ke sekolah di Rantau Panjang kelmarin.

Serik pergi sekolah rentas sempadan guna pangkalan haram

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

RANTAU PANJANG – Pelajar Malaysia yang tinggal di Thailand dan bersekolah di sini, mengakui serik untuk merentas sempadan menggunakan pangkalan haram di Su­ngai Golok selepas ditahan Pasukan Gerakan Am (PGA) kelmarin.

Seorang pelajar tingkatan tiga yang mahu dikenali sebagai Lie berkata, dia mengetahui me­ngenai penahanan 34 pelajar dan murid selepas dimaklumkan oleh rakannya yang turut ditahan PGA.

“Rakan saya maklumkan dia masih terkejut dengan kejadian tersebut dan nekad untuk tidak mengulanginya lagi.

“Sebelum ini, dia masuk secara bergilir-gilir menggunakan Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Rantau Panjang dan pangkalan haram,” katanya.

Lie memberitahu, sepanjang ditahan, rakannya itu memaklumkan mereka banyak diberikan nasihat dan pendedahan berkaitan undang-undang yang boleh dikenakan sekiranya masuk atau keluar dari negara ini menggunakan pangkalan haram.

Sementara itu, tinjauan Kosmo! mendapati, suasana di pangkalan haram Jambu yang sering menjadi lokasi pelajar Malaysia di Thailand masuk ke negara ini lengang.

Pergerakan masuk pelajar Malaysia yang menetap di Thailand untuk ke sekolah di Rantau Panjang bermula seawal pukul 6.50 pagi apabila mereka menaiki motosikal bersama penjaga masing-masing.

Kosmo! sebelum ini melaporkan, PGA menahan seramai 34 pelajar dan murid sekolah selepas dikesan menyeberangi Sungai Golok dari Thailand melalui pangkalan haram untuk pergi ke sekolah mereka pada Ahad lalu.

Kesemua mereka yang berusia dalam lingkungan tujuh hingga 16 tahun itu ditahan kira-kira pukul 6.30 pagi sebelum dibebaskan dengan jaminan polis pada pukul 11.30 malam kelmarin.

Komander Briged Tenggara PGA, Senior Asisten Komisioner Ahmad Radzi Hussain dilaporkan berkata, siasatan mendapati, ­kesemua mereka termasuk 12 pelajar perempuan dikesan menyeberangi Sungai Golok melalui pangkalan haram di sini.

Katanya, kesemua mereka merupakan rakyat tempatan yang tinggal di Selatan Thailand, ­namun bersekolah di Rantau Panjang.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN