KLUANG – Seorang wanita tidak menyangka pesanan suami supaya menjaga diri serta anak-anak baik-baik adalah pesanan terakhir sebelum maut dalam kemalangan ngeri membabitkan sebuah jentera berat di Jalan Kota Tinggi berhampiran Ladang Tabung Haji, di sini 9 Mac lalu.
Siti Nor Adilah Aziz, 34, berkata, suaminya, Mohd. Noor Selihin, 37, turut berkelakuan pelik dengan memeluknya erat-erat serta berulang kali meminta maaf pada hari kelahirannya dua hari sebelum insiden.
Katanya, dia juga termenung seolah-olah memikirkan sesuatu ketika duduk bersendirian namun enggan menceritakan apa-apa apabila ditanya.
“Semua dilakukan suami rupa-rupanya petanda dia akan meninggalkan kami selama-lamanya.
“Apa lebih menyayat hati, kemalangan itu berlaku di depan mata saya. Ketika itu, kami dalam perjalanan balik dari Bandar Tenggara menuju Kluang dengan bergerak secara berasingan menggunakan dua buah kereta,” katanya di Taman Gunung Selatan di sini semalam.
Terdahulu Adilah menerima kunjungan Pengurus Pejabat Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Kluang, Mohd. Shaifuddin Mohd. Nor dan Setiausaha Majlis Perbandaran Kluang (MPK) Azmi Ahmad.
Mohd. Shaifuddin berkata, arwah suami Siti Nor Adilah Orang Berinsuran yang melayakkan waris menerima Faedah Pengurusan Mayat (FPM) sebanyak RM3,000.
Ujarnya, selain bayaran FPM, Adilah akan menerima Pencen Penakat sepanjang hayat, manakala dua anaknya kini berusia tujuh dan 11 tahun akan menerima pencen itu hingga berusia 21 tahun atau ijazah pertama sekiranya melanjutkan pelajaran di universiti.
Pada 11 Mac lalu, Kosmo! melaporkan, kemalangan itu yang berlaku berlaku pukul 12 tengah malam itu meragut nyawa Mohd. Nor Selihin selepas kereta Toyota Vios dipandunya melanggar sebuah jentera berat sebelum kenderaan itu terbalik dan terbakar.














