INOVASI kenderaan autonomi atau tanpa pemandu semakin rancak dicipta di dunia dan beberapa negara kini membangunkannya untuk pelbagai tujuan.
Sering dikaitkan untuk tujuan komersial dan perindustrian, kenderaan autonomi juga amat sesuai digunakan dalam sektor keselamatan sekali gus menjadi sebahagian aset negara yang dapat digunakan bagi pelbagai misi selain mengesan anasir musuh.
Itulah yang ingin dimanfaatkan Tentera Laut Diraja (Royal Navy) United Kingdom (UK) apabila berjaya menerbangkan sebuah helikopter autonomi pertamanya pada 16 Januari lalu.
Kenderaan udara diberi nama Proteus itu mencatat sejarah melakukan penerbangan sulung di Lapangan Terbang Predanncak, Cornwall sekali gus menjadi simbolik peralihan strategik ke arah penggunaan pesawat tanpa juruterbang atau sayap udara hibrid bagi meningkatkan keupayaan operasi maritim selain ke arah ‘operasi antikapal selam’ masa depan.
Ia merupakan kenderaan autonomi pertama bersaiz helikopter militari penuh berbanding kenderaan berasaskan dron-dron biasa yang lebih kecil di UK.
Menurut laman rasmi Royal Navy, tanpa kehadiran juruterbang dalam kokpit, pesawat udara itu dikawal melalui sistem komputer dan sensor canggih.
Direka untuk misi berbahaya tanpa kru atau peninjauan, kenderaan berkenaan berfungsi sebagai dron gergasi yang dikendalikan oleh operator dari darat atau kapal (kapal perang).
Timbalan Pengarah Program Masa Depan Penerbangan Tentera Laut Diraja, Komodor Steve Bolton berkata, penerbangan sulung itu menjadi satu pencapaian penting dalam bidang teknologi pertahanan maritim.
“Penerbangan pertama Proteus langkah penting dalam menyampaikan visi transformasi penerbangan maritim Tentera Laut Diraja dan menunjukan komitmen teguh kami untuk melabur dalam autonomi sebagai sebahagian sayap udara hibrid.
“Pencapaian penting ini menandakan niat kami untuk menerajui inovasi teknologi dan meningkatkan keberkesanan pertempuran Tentera Laut Diraja dalam persekitaran operasi yang semakin kompleks, termasuk mengekalkan kelebihan operasi terhadap ancaman maritim yang kini semakin berkembang,” katanya.
DALAM penerbangan sulung itu, helikopter berkenaan menunjukkan keupayaan untuk berlepas dan melaksanakan laluan yang telah diprogramkan serta mendarat secara autonomi dengan jayanya.
Ia membuktikan kebolehpercayaan teknologi navigasi dan kawalan kendiri yang digunakan selain membuka ruang kepada operasi lebih efisien dalam persekitaran mencabar seperti di kawasan perairan bergelora atau zon konflik.

Proteus direka bersaiz besar dan bersesuaian cuaca di lautan. UK sebelum ini sudah mempunyai dron-dron helikopter skala kecil seperti Malloy octocopters dan Peregrine untuk tugas pemantauan tetapi Proteus lebih besar dari semua aspek termasuk saiz dan tahap kerumitan. Proteus dikatakan mampu membawa muatan seberat satu tan.
Menteri Kesediaan dan Industri Pertahanan, Luke Pollard berkata, Proteus dibangunkan sebagai sebahagian daripada usaha transformasi digital Royal Navy yang memberi tumpuan kepada integrasi kecerdasan buatan (AI) dan sistem tanpa pemandu.
“Penerbangan sulung ini merupakan detik yang membanggakan bagi inovasi British. Direka dan dibina di Yeovil, Proteus dibangunkan di bawah program bernilai 60 juta pound (RM320 juta) melibatkan 100 tugasan mahir UK sambil membantu menyediakan tentera laut hibrid yang digariskan Kajian Pertahanan Strategik kami.
“Sistem autonomi seperti ini akan menjadi teknologi penting dalam melindungi laut, menjalankan pelbagai misi termasuk pengawasan, pengumpulan maklumat risikan serta sokongan logistik tanpa merisikokan nyawa manusia,” katanya.
Dibangunkan dengan kerjasama Royal Navy dengan syarikat teknologi dan pertahanan gergasi, Leonardo Helicopters telah membangunkan pelbagai teknologi bagi memastikan helikopter berkenaan mampu bergerak sendiri.
Proteus memiliki perisian canggih yang menggunakan algoritma AI untuk memahami persekitaran, memproses data dan membuat keputusan penerbangan secara bebas dalam peraturan (ruang laluan) ditetapkan.
Dalam pada itu, AI juga membolehkan helikopter melaraskan laluan penerbangan secara dinamik untuk mengelak insiden berbahaya atau bertindak balas terhadap perubahan situasi di laut.

Berdasarkan kenyataan Leonardo Helicopters, helikopter berkenaan turut dilengkapi rangkaian penderia (sensor) dan pemprosesan seperti kamera optikal dan sistem radar untuk mengesan kapal atau objek lain.
“Pemprosesan data dilakukan secara terus di atas pesawat (onboard) membolehkan ia bertindak pantas walaupun dalam cuaca buruk atau laut bergelora tanpa perlu menunggu arahan dari darat.
“Sistem navigasi dan keselamatan menjadikan ia mampu beroperasi di kawasan tanpa GPS (Sistem Penentu Sejagat) selain mempunyai sistem pendaratan berasaskan penglihatan komputer untuk mendarat dengan selamat di atas kapal.
“Sistem remain well clear (elak pelanggaran) yang dimiliki Proteus mengekalkan jarak selamat daripada pesawat lain secara automatik bagi mengelakkan perlanggaran yang membahayakan,” ujarnya.
Memiliki reka bentuk modular dan diperbuat daripada material moden, helikopter itu dilengkapi lebih 40 komponen yang dihasilkan daripada bahan komposit termaju (seperti cetakan 3D) untuk menjadikan ia ringan, namun kukuh.
Ruang kargonya boleh ditukar ganti dengan cepat mengikut misi sama ada untuk membawa bekalan logistik atau peralatan pemburu kapal selam seperti sonobuoys.
Menurut Pengarah Urusan Leonardo Helicopters, Nigel Colman, penggunaan helikopter autonomi seperti Proteus berpotensi mengurangkan kos jangka panjang.
Katanya, helikopter berkenaan membantu pihak tentera mengurangkan latihan logistik, manakala penglibatan kru juga dapat dikurangkan.
“Sistem ini boleh beroperasi lebih lama dan dalam keadaan yang mencabar dengan kemampuan terbang tanpa henti sekitar 5 jam (dalam konfigurasi biasa).
“Bagi keupayaan maksimum terutama untuk misi tertentu, ia direka untuk kekal di udara sehingga 8 jam hingga 10 jam.
“Oleh kerana tiada juruterbang di dalam kokpit, helikopter in dapat diterbangkan tanpa ada masalah keletihan manusia,” ujarnya memetik Manufacturing Digital.














