LARUT – Kegiatan licik sekumpulan penjenayah dikenali sebagai Geng Daud yang aktif mencuri kabel telekomunikasi di sekitar Batu Kurau di sini tumpas dengan penahanan lima individu termasuk ketuanya dalam beberapa operasi awal bulan ini.
Ketua Polis Daerah Selama, Superintendan Sarudin Samah berkata, kes terbongkar selepas pihaknya menerima laporan daripada pekerja syarikat telekomunikasi pada 28 Februari lalu berhubung kehilangan kabel dan peralatan di sebuah pencawang, susulan gangguan talian di kawasan tersebut sehari sebelumnya.
“Bertindak atas maklumat risikan, sepasukan anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Selama menahan seorang lelaki tempatan pada 2 April sebelum memberkas dua lagi lelaki termasuk warga asing dipercayai ahli kumpulan sama di Batu Kurau.
“Seorang lagi lelaki tempatan dipercayai pembeli barangan curi turut ditahan pada 3 April lalu, manakala ketuanya diberkas di Hutan Melintang pada 7 April lepaa,” katanya pada sidang akhbar di IPD Selama di sini hari ini.
Menurut beliau, siasatan mendapati tiga daripada suspek mempunyai rekod dadah. Kesemua tangkapan berusia 30 hingga 48 tahun.
“Hasil soal siasat mendapati kegiatan itu dilakukan bagi mendapatkan wang untuk membeli dadah bagi kegunaan sendiri.
“Suspek juga dipercayai memperoleh pengetahuan melakukan kegiatan itu melalui media sosial termasuk video di internet, selain mempunyai kemahiran dalam mengendalikan kabel berarus elektrik,” ujarnya.
Katanya, suspek menggunakan bahan penebat seperti kain untuk mengelak renjatan elektrik ketika memotong kabel, selain mengubah suai peralatan seperti pisau dan pemotong besi bagi memudahkan aktiviti mereka.
“Kabel yang dicuri pula mempunyai beberapa lapisan dan perlu dileraikan satu persatu bagi mendapatkan tembaga. Proses itu bukan mudah kerana terdapat sekurang-kurangnya tiga lapisan yang perlu dileraikan,” katanya.
Siasatan turut mendapati aktiviti itu biasanya dilakukan di kawasan ladang kelapa sawit, namun Geng Daud memproses barangan curi tersebut di rumah suspek warga asing sebelum dijual di kedai barangan lusuh.
“Dalam operasi itu, polis merampas sebuah kereta jenis Waja yang digunakan suspek, gulungan wayar tembaga, resit jualan barangan lusuh dan peralatan untuk melerai kabel,” katanya.
Kesemua suspek didakwa di Mahkamah Majistret Taiping pada 9 dan 10 April lalu mengikut Seksyen 431A, Seksyen 411 dan Seksyen 414 Kanun Keseksaan, manakala Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 bagi suspek warga asing.
“Empat tertuduh mengaku bersalah dan dihukum penjara lapan bulan, manakala seorang lagi tertuduh mengaku tidak bersalah. Sebutan semula kes pada 7 Mei ini,” katanya. – KOSMO! ONLINE














