KULAI – Projek pembinaan dan penyelenggaraan jalan raya di seluruh negara dijangka mengalami kelewatan susulan kenaikan harga bahan binaan dan diesel yang dipengaruhi krisis peperangan di Asia Barat.
Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Dr. Ahmad Maslan berkata, pihaknya mengakui berlaku peningkatan kos bahan binaan ketika ini.
Bagaimanapun, katanya, kadar sebenar kenaikan masih menunggu pengesahan rasmi daripada Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
Menurut beliau, terdapat anggaran kenaikan antara 30 hingga 40 peratus, namun angka itu belum boleh disahkan tanpa data tepat.
“Saya tidak mahu mengesahkan kadar itu kerana kita perlu mendapatkan data saintifik daripada DOSM,” katanya ketika Lawatan Kerja ke Jabatan Kerja Raya (JKR) Daerah Kulai di sini, hari ini.
Tambahnya, DOSM mempunyai kaedah khusus untuk mengukur kenaikan harga termasuk bahan binaan, makanan dan pengangkutan.
Ahmad turut memaklumkan pihaknya telah mengadakan pertemuan dengan empat persatuan kontraktor utama bagi membincangkan isu berkenaan, iaitu PKBM, PKMM, PERKOBF dan Persatuan Kontraktor Mekanikal.-KOSMO! ONLINE














