China mengambil ‘langkah di luar jangkaan’ dengan menutup ruang udara luar pesisir selama 40 hari, sekali gus mencetuskan kebimbangan mengenai peralihan besar dalam kedudukan ketenteraannya, lapor sebuah laman berita.
Sekatan bermula dari 27 Mac hingga 6 Mei 2026 itu merangkumi zon luas dari Laut Kuning hingga ke Laut China Timur, termasuk utara dan selatan Shanghai.
Walaupun notis demikian biasanya digunakan untuk memberi amaran kepada juruterbang tentang bahaya sementara seperti latihan tentera jangka pendek, Beijing masih belum mengumumkan sebarang latihan ketenteraan khusus secara rasmi.
Pengarah Projek SeaLight Stanford, Ray Powell berkata, tindakan itu menunjukkan bukan sekadar latihan berasingan tetapi postur kesediaan operasi berterusan dan China nampaknya tidak merasa perlu untuk menjelaskannya kepada masyarakat antarabangsa.
Christopher Sharman dari Kolej Perang Tentera Laut Amerika Syarikat pula memberitahu bahawa penutupan itu bagi memberi peluang Beijing untuk mempraktikkan gerakan tempur udara yang diperlukan.
Walaupun penerbangan awam sebahagian besarnya tidak terjejas, kekurangan ketelusan daripada pihak Beijing telah meletakkan komuniti antarabangsa dalam keadaan berjaga-jaga.- AGENSI














