PETALING JAYA – Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir susulan jangkaan hujan lebat dan angin kencang membabitkan beberapa kawasan di Semenanjung, Sarawak dan Sabah hingga pukul 7 malam ini.
MetMalaysia dalam kenyataan berkata, kawasan yang terlibat di Semenanjung adalah Kedah (Sik) dan Perak (Hulu Perak, Kampar, Hilir Perak, Batang Padang dan Muallim).
“Hujan lebat turut diramal berlaku di Pahang (Tanah Tinggi Cameron, Lipis, Raub, Jerantut, Bentong, Bera dan Rompin) dan Negeri Sembilan (Jelebu, Seremban, Port Dickson, Kuala Pilah, Rembau dan Jempol),” lapor MetMalaysia.
“Selain itu, kawasan yang dijangka terjejas adalah Johor yang melibatkan Segamat, Batu Pahat, Kluang, Mersing, Pontian dan Kulai,” kata kenyataan itu hari ini.
Sementara itu di Sarawak, cuaca buruk dijangka berlaku di Kuching, Serian, Samarahan, Sri Aman (Sri Aman), Betong (Pusa, Betong dan Kabong), Sarikei (Pakan dan Julau), Sibu (Kanowit dan Selangau), Mukah (Dalat dan Mukah), Kapit (Song, Kapit dan Bukit Mabong), Bintulu dan Miri (Subis).
Bagi Sabah, amaran hujan lebat melibatkan kawasan Pedalaman (Nabawan), Pantai Barat (Penampang dan Ranau) dan Kudat (Kota Marudu dan Kudat).
MetMalaysia memaklumkan, amaran hujan lebat dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 milimeter sejam yang hampir atau dijangka berlaku melebihi sejam.
“Amaran ribut petir adalah amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam untuk satu-satu keluaran,” lapor MetMalaysia. – KOSMO! ONLINE













