MANCHESTER – Manchester United kembali beraksi dengan misi besar apabila bakal melayan kunjungan Leeds United di Old Trafford dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) awal pagi esok.
Selepas hampir sebulan tanpa perlawanan kompetitif, skuad kendalian Michael Carrick kini berdepan cabaran penting untuk mengekalkan kedudukan dalam kelompok tiga teratas liga.
United ketika ini menghuni tangga ketiga, tujuh mata di hadapan Chelsea yang menghuni tangga keenam, sekali gus berada di landasan terbaik untuk kembali ke saingan Liga Juara-Juara (UCL) musim depan.
Carrick mengakui tempoh rehat panjang dimanfaatkan sepenuhnya untuk memperbaiki aspek permainan, termasuk kem latihan intensif di Ireland sebagai persediaan menghadapi baki musim.
“Dalam peranan saya sekarang, keputusan-keputusan seperti ini perlu diuruskan dengan baik. Apa pun yang berlaku selepas ini, saya hanyalah sebahagian daripada usaha untuk memperbaiki pasukan,” katanya.
Prestasi semasa United juga cukup meyakinkan apabila mencatat tujuh kemenangan daripada 10 perlawanan terakhir di bawah kendalian Carrick.
Selain itu, rekod di laman sendiri jelas memihak kepada The Red Devils yang tidak tewas dalam 18 aksi liga terakhir menentang Leeds di Old Trafford.
Bagaimanapun, Leeds yang kini bergelut di tangga ke-15 pasti hadir dengan misi mencuri mata penting dalam usaha menjauhkan diri daripada zon penyingkiran. – AGENSI














