LIVERPOOL – Liverpool akhirnya menamatkan kemarau keputusan hambar apabila menewaskan Fulham 2-0 sekali gus menghidupkan kembali harapan untuk kekal dalam kelompok Liga Juara-Juara musim depan.
Kemenangan tersebut hadir tepat pada masanya buat skuad kendalian Arne Slot yang sebelum ini teruk dikritik susulan kekalahan besar kepada Manchester City serta prestasi hambar ketika tewas kepada Paris Saint-Germain (PSG).
Slot melakukan rombakan besar dengan lima pertukaran dalam kesebelasan utama dan keputusan itu nyata membuahkan hasil apabila Liverpool tampil lebih agresif di Anfield.
Bintang muda berusia 17 tahun, Rio Ngumoha mencuri tumpuan apabila membuka jaringan pada minit ke-36 sebelum Mohamed Salah menambah kelebihan hanya empat minit kemudian menerusi penyudah serupa.
Dua gol dalam tempoh singkat itu memberi kelegaan buat penyokong tuan rumah yang sebelum ini tertekan dengan prestasi tidak menentu pasukan.
Kemenangan tersebut meletakkan Liverpool di tangga kelima liga, kedudukan yang kini cukup untuk melayakkan mereka ke saingan Liga Juara-Juara musim depan.
Fulham sebenarnya turut memberi tentangan sengit dengan mencatat 19 percubaan, namun kegagalan memanfaatkan peluang menyaksikan mereka pulang hampa, sekali gus memberi suntikan keyakinan penting buat Liverpool menjelang aksi getir menentang PSG. – AGENSI














