fbpx
Intan Maya mengakui berkecil hati apabila sesetengah pihak membanding-bandingkan suaranya dengan teknologi kecerdasan buatan (AI) yang sering dianggap sempurna.

Dua minggu menangis, orang lagi agungkan robot AI – Intan Maya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Penyanyi baharu Intan Maya mengakui berkecil hati apabila sesetengah pihak membanding-bandingkan suaranya dengan teknologi kecerdasan buatan (AI) yang sering dianggap sempurna.

Intan atau nama lengkapnya Intan Nurmayasari Mustapha, 21, turut terkilan apabila usaha kerasnya sebagai seorang yang mendalami bidang muzik seakan-akan tidak dihargai.

“Kecil hati (bandingkan dengan robot), saya memang belajar dalam bidang muzik, kita tahu nak cipta lagu kena guna kord.

“Tapi zaman sekarang, orang tekan-tekan saja dah jadi. Apa perasaan budak muzik? Mesti rasa macam ‘apa guna aku belajar kalau sekarang AI buat semua’.

“Benda itu buat saya rasa terasa sikitlah sebab kita dah cuba sehabis baik dengan kudrat manusia . Tapi orang lagi agungkan robot,” katanya kepada Kosmo! Online pada Majlis Hari Raya Suria Records, baru-baru ini.

Tambah penyanyi yang merakamkan semula lagu Cinta Tersimpul Rapi itu, perbandingan tersebut tidak adil kerana AI mampu memperbaiki setiap nota sehingga mencapai kesempurnaan yang tidak logik.

“Semua penyanyi ada kelemahan dan kelebihan masing-masing. Saya sebagai penyanyi baharu, masih mencari identiti sendiri.

“AI itu sempurna, bila lagu Cinta Tersimpul Rapi keluar versi AI, orang takkan dengar salah sebab AI sentiasa memperbaiki lagu tersebut sampai jadi tak logik.

“Saya manusia biasa, cuba bawa cara saya. Jadi untuk lagu ini sahaja, saya tak terima kalau orang kata tak sedap sebab tak sama dengan AI,” tambahnya.

Berkongsi detik hitam yang dilalui, Intan mendedahkan pernah tertekan sehingga menangis selama dua minggu akibat kecaman netizen selepas menyanyikan lagu Cinta Tersimpul Rapi versi AI.

“Awal-awal kenyataannya memang saya menangis dua minggu. Kadang-kadang bila tengah kerja saya gembira tapi buka sahaja telefon nampak orang kecam.

“Saya paling tersentuh kalau perempuan yang DM, ayat dia macam ‘kau ini tak tahu malu ke? Dah ambil lagu AI, selepas itu nak mengaku pula?’

“Saya tak balas, saya baca sahaja. Patutnya perempuan sokong perempuan tapi ada yang menjatuhkan,” katanya.

Bagaimanapun, graduan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) kini bangkit dengan semangat baharu dan lebih optimis untuk melebarkan sayapnya dalam industri hiburan.

“Alhamdulillah makin lama makin ke arah yang positif bila ramai mula sokong dan dengar.

“Ramai pula yang kata suka dengan lagu Cinta Tersimpul Rapi versi 2024. Jadi, bagi saya semangat.

“Sebenarnya awal-awal saya tak boleh nak terima kecaman tapi lama-lama bila berkumpul dengan staf SRC, mereka kata ini permulaan saya dan abaikan saja mereka, orang mula kenal tapi dengan nama Intan Maya siapa?, Oh Cinta Tersimpul Rapi,” ujarnya.

Sebelum ini, Intan yang merupakan artis syarikat rakaman Suria Records (SRC) dipilih menyanyikan semula lagu Cinta Tersimpul Rapi selepas popular menerusi versi AI ciptaan Jane In Heaven.

Namun, ramai yang memberikan kritikan dahsyat kepada Intan sehingga meminta wanita itu berhenti menyanyi mengikut versi AI. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN