PETALING JAYA – Tindakan berani beberapa pekerja di restoran Oriental Kopi berjaya menggagalkan cubaan ragut yang berlaku secara tiba-tiba di premis mereka di AEON Bukit Indah, Johor Bahru, Johor baru-baru ini.
Kejadian tersebut berlaku ketika sekumpulan pelanggan sedang menikmati hidangan sebelum seorang individu bertindak mencuri beg milik seorang wanita dalam sekelip mata.
Menerusi satu hantaran oleh Oriental Kopi di laman Instagram, video memaparkan rakaman televisyen litar tertutup menunjukkan suspek berpura-pura bercakap di telefon sebelum berjalan ke bahagian belakang restoran dan mengambil beg mangsa dari arah belakang tanpa disedari.
“Semua berlaku dengan sangat pantas, semua orang terkejut kerana tidak menjangka kejadian itu,” katanya.
Bagaimanapun, situasi cemas itu berjaya dikawal apabila beberapa pekerja bertindak segera tanpa teragak-agak untuk mengejar dan menghentikan suspek.
“Tanpa berfikir panjang, mereka terus meluru ke hadapan dan berjaya menghentikan pencuri tersebut. Beg itu berjaya diambil semula dan dipulangkan kepada pemiliknya,” menurutnya.
Pihak Oriental Kopi memaklumkan, mangsa dilihat sangat lega sebaik sahaja begnya dikembalikan, sekali gus meredakan ketegangan yang berlaku dalam premis berkenaan.
Tambahnya, tindakan pantas individu terlibat disifatkan sebagai satu keberanian luar biasa yang jarang dilihat dalam situasi sebegitu.
“Mereka tidak berfikir dua kali, mereka hanya rasa tidak boleh biarkan perkara itu berlaku di depan mata,” jelasnya.
Dalam pada itu, pihak restoran turut menasihati orang ramai agar sentiasa berwaspada terhadap barang peribadi ketika berada di tempat awam.
“Kami kongsikan ini sebagai peringatan supaya semua lebih berhati-hati dengan barang masing-masing ketika makan di luar,” katanya. – KOSMO! ONLINE














