fbpx
Tangkap layar hantaran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di laman Facebooknya berkenaan isu ini.

Murid SK Balaban Jaya dipindahkan ke SK Pekan Beluran

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Kementerian Pendidikan (KPM) mengambil langkah drastik memindahkan sementara murid-murid Sekolah Kebangsaan (SK) Balaban Jaya ke SK Pekan Beluran bagi memastikan pembelajaran mereka tidak terjejas dan ibu bapa tidak terbeban.

KPM dalam satu kenyataan berkata, selain pemindahan lokasi pembelajaran, kemudahan pengangkutan turut disediakan bagi membawa murid-murid ke sekolah berkenaan bagi memastikan proses pengajaran dan pembelajaran tidak terganggu.

“Tindakan segera yang akan diambil termasuk memindahkan sementara murid ke SK Pekan Beluran dan menyediakan pengangkutan untuk membawa murid ke sekolah tersebut.

“Langkah ini bagi memastikan pembelajaran murid tidak terjejas dan dalam masa sama, bebanan ibu bapa dapat dikurangkan,” katanya.

Sementara itu, kerja-kerja naik taraf di SK Sungai Nangka juga akan dilaksanakan dengan kadar segera sebagai alternatif penyuraian murid sementara menunggu pembinaan bangunan baharu SK Balaban Jaya siap sepenuhnya.

Langkah ini diambil susulan arahan tegas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mahukan penyelesaian serta-merta.

Terdahulu, Anwar menerusi hantaran di Facebook peribadinya menyifatkan situasi pelajar tersebut sebagai perkara yang amat mengesankan dan menyedihkan.

“Arahan telah diberikan untuk penyelesaian segera. Keselesaan anak-anak dalam menuntut ilmu mesti diberi perhatian utama,” jelasnya.

Isu ini berpunca dari kerosakan pada sebahagian infrastruktur yang diakibatkan oleh pergerakan tana dan cerun, menjadikan sekolah berkenaan tidak berada dalam keadaan selamat.

Susulan itu, KPM bertanggungjawab sepenuhnya bagi memastikan keperluan pendidikan untuk semua murid yang terjejas di sekolah tersebut terpelihara. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN