MARANELLO – Bekas pelumba Formula Satu (F1), Ralf Schumacher memberi peringatan kepada pelumba Ferrari, Charles Leclerc supaya tidak menyertai Red Bull seandainya Max Verstappen meninggalkan pasukan itu.
Difahamkan, Leclerc mula hilang sabar untuk terus memburu kejuaraan dunia bersama Ferrari dengan Red Bull mula memantau dengan rapat perkembangan pelumba Perancis itu untuk perancangan masa depan.
Bagaimanapun, Schumacher memberi amaran supaya Leclerc berfikir semasak-masaknya memandangkan Red Bull berada dalam situasi cukup genting ketika ini selain sedang memulakan projek jangka panjang.
“Jika kita bercakap secara jujur, Red Bull bukanlah pilihan utama mana-mana pelumba pada ketika ini. Dalam situasi sekarang, adalah satu keputusan yang kurang tepat untuk menyertai Red Bull.
“Mereka sedang memulakan projek jangka panjang yang baharu sekarang kerana pasukan berada dalam situasi huru-hara. Mereka juga tidak banyak bercakap dengan dunia luar mengenai pasukan,” katanya.
Pada masa sama, beliau tidak percaya Red Bull mampu menawarkan kejayaan buat Leclerc memandangkan Ferrari mula menunjukkan prestasi lebih stabil ketika ini selepas beberapa tahun bergelut.
“Saya tidak rasa ia masuk akal ataupun tidak untuk meninggalkan Ferrari yang mula menunjukkan potensi sebenar. Bagi saya, Ferrari perlu mengekalkan pelumba seperti Leclerc,” ujar Schumacher. – AGENSI














