LONDON – Pengurus Chelsea, Liam Rosenior mengakui akan menggunakan masa yang ada untuk memastikan pasukan itu menyesuaikan diri dan berkembang dengan falsafah bola sepak yang mahu diterapkannya.
Menurutnya, beliau hanya mengambil alih pasukan ketika musim sudah berjalan, malah tugasnya tidak mudah apabila tiba di Stamford Bridge ketika prestasi Chelsea tidak berada pada situasi yang baik.
“Minggu ini adalah buat kali pertama sejak saya tiba, kami mampu menjalani latihan untuk dua hari berturut-turut. Saya tidak fikir ada ahli silap mata mampu mengubah nasib pasukan ini mengikut apa yang dikehendaki sekiranya diberikan tempoh seperti yang saya peroleh.
“Tidak ada mana-mana pasukan mampu untuk meraih rentak kemenangan yang konsisten dalam tempoh yang singkat. Saya tidak boleh mengubah terlalu banyak perkara atau mampu sentiasa menang dalam masa sekejap. Ia adalah usaha berterusan dan memerlukan jangka panjang,” katanya.
Selepas dua kekalahan menentang Newcastle United dan Everton sebelum ini, The Blues terdesak untuk meraih kemenangan pada aksi menentang Manchester City di laman sendiri malam ini untuk membolehkan mereka memburu slot ke Liga Juara-Juara musim depan.
Menurut Rosenior, setiap perlawanan adalah peluang berharga untuknya belajar mengenali kekuatan dan kelemahan pasukannya sendiri bagi membolehkannya merangka taktikal dan strategi yang terbaik untuk digunakan pada perlawanan berikutnya.
Sementara itu, Rosenior mengesahkan pemain tengahnya, Enzo Fernandez telah membuat permohonan maaf isu spekulasi perpindahannya ke Real Madrid, namun menegaskan bahawa hukuman penggantungan dua perlawanan terhadap pemain itu masih dikekalkan. – AGENSI














