SHAH ALAM – Pihak kontraktor tidak dibenarkan menghentikan kerja projek atau stop work kerana tindakan itu melanggar syarat kontrak yang telah ditetapkan.
Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, perkara itu dimaklumkan selepas kementeriannya mengadakan pertemuan dengan persatuan kontraktor bagi membincangkan isu kenaikan kos bahan binaan minggu lalu.
Menurut beliau, antara perkara dibincangkan ialah permohonan melaksanakan lanjutan masa (EOT) bagi projek-projek tertentu yang terkesan dengan peningkatan kos.
“Saya ingin memaklumkan bahawa tiada ‘stop work’ diberikan kerana ia melanggar syarat kontrak. Itu tidak akan berlaku.
“Namun, ada permohonan daripada mereka untuk ‘slow down a little bit’ (perlahan sedikit) sehingga misalnya harga diesel lebih stabil. Kemungkinan itu boleh dilakukan, namun stop work tidak dibenarkan,” katanya ketika ditemui pada majlis Anugerah Sukan Universiti Teknologi Mara (UiTM) 2025 di sini, malam tadi.
Selain itu, kerajaan dicadang memperkenalkan moratorium jangka panjang seperti dilaksanakan ketika pandemik Covid-19 bagi memastikan aliran tunai dan projek yang sedang berjalan tidak terjejas.
Mengulas lanjut, Ahmad berkata, Jabatan Kerja Raya (JKR) akan mengemukakan cadangan berkaitan VOP kepada Kementerian Kewangan dan Kementerian Ekonomi untuk pertimbangan lanjut. – KOSMO! ONLINE














