PARIT – Baru tiga bulan selesai menjalani hukuman penjara, seorang lelaki sekali lagi diberkas selepas dipercayai kembali aktif sebagai ketua sindiket curi motosikal dikenali ‘Geng Muncung’.
Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintenden Hafezul Helmi Hamzah berkata, suspek utama berusia 27 tahun itu dipercayai mengetuai kumpulan tersebut sejak Januari lalu.
Katanya, suspek yang mempunyai rekod jenayah dan dadah itu ditahan bersama 10 rakan dalam beberapa siri tangkapan pada 29 Mac hingga 2 April lalu.
“Tangkapan ke atas semua suspek itu dibuat susulan laporan polis yang diterima berkaitan kehilangan sebuah motosikal jenis Yamaha Y15ZR di hadapan kedai makan di Lestari IUS, Seri Iskandar pada 22 Mac lalu.
“Susulan itu, beberapa tangkapan dijalankan yang membawa kepada penahanan 11 lelaki berusia 21 hingga 46 tahun di kawasan Perak Tengah, Manjung dan Ipoh,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Perak Tengah, di sini hari ini.
Dalam serbuan itu, pihak polis merampas lima buah motosikal yang dileraikan, selain komponen enjin dan alat ganti motosikal. Turut ditemukan paket plastik lutsinar disyaki dadah methamphetamine seberat 0.56 gram.
“Ujian saringan awal air kencing mendapati dua suspek positif methamphetamine,” katanya.
Beliau berkata, modus operandi kumpulan berkenaan ialah meleraikan motosikal curi untuk diambil komponen dan alat ganti sebelum membuang rangka kenderaan tersebut ke dalam sungai bagi melupuskan bukti.
Katanya, seorang daripada suspek yang bekerja sebagai pengawal keselamatan turut berperanan sebagai pemberi maklumat kepada kumpulan berkenaan mengenai motosikal yang menjadi sasaran mudah untuk dicuri.
“Dengan tertangkapnya kesemua suspek ini, kita telah berjaya menyelesaikan 10 kes kecurian motosikal yang dilaporkan hilang di tiga daerah iaitu Perak Tengah, Manjung dan Ipoh,” katanya.
Tambah beliau, pihak polis sedang mengesan dua lagi ahli kumpulan berkenaan yang masih bebas dikenali Sapik, 22, dan Akim, 29, bagi membantu siasatan.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung keberadaan kedua-dua suspek diminta menyalurkan maklumat kepada pegawai penyiasat, Sarjan Farah Ellyana Liki Maliki di talian 013-8927218,” katanya. – KOSMO! ONLINE














