fbpx
Safiza ketika menenangkan ibunya yang baru tiba di kediaman mereka di Bertam Perdana, malam tadi.

‘Mommy tak kuat, tapi reda Allah pinjamkan Aryan selama enam tahun’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SEBERANG PERAI – Ibu kanak-kanak yang ditemukan lemas selepas terjatuh ke dalam sungai di Terusan Sungai Dua, Kepala Batas, di sini petang tadi reda dengan pemergian anak kesayangannya itu meskipun berat untuk menerima hakikat akan kehilangannya.

Menurut Safiza Awang kechik, 40, dia hilang kata-kata sebaik dimaklumkan mengenai kejadian yang menimpa anaknya, Muhammad Aryan Hakim Muhammad Jamaluddin, enam tahun, daripada suaminya, petang tadi.

“Saya sedih dan tak kuat (kehilangan anak) tapi saya reda dengan ketentuan Allah. Dia pinjamkan Aryan kepada saya selama enam tahun dan Dia ambil semula haknya daripada saya.

“Aryan seorang yang ceria dan banyak cakap. Semua jiran di sini kenal dia, tak kira tua muda semua dia tegur.

“Malah, sejak akhir-akhir ini, dia selalu baca surah Al-Fatihah, doa qunut dan selawat walaupun sebutan belum lancar. Dia juga ada cakap, mommy tolong ajarkan Aryan baca doa bangun tidur. Memang nampak perubahan dia sejak masuk tadika,” katanya ketika ditemui Kosmo! di kediamannya di Bertam Perdana, malam tadi.

Menurut Safiza lagi, Aryan yang merupakan anak bongsu daripada empat beradik itu biasanya hanya bermain dekat taman dan tidak pernah sesekali pergi ke kawasan terusan berkenaan meskipun jaraknya tidak begitu jauh dari kediaman mereka.

“Sebelum itu, bapanya ada mencari dia di taman tapi tak jumpa sehinggalah rakan Aryan datang beritahu tentang kejadian berlaku.

“Jasad Aryan akhirnya ditemui pasukan bomba, jaraknya jauh juga dari lokasi dia terjatuh,” ujarnya dalam nada sebak.

Beritahunya lagi, bedah siasat akan dijalankan di Hospital Kepala Batas pada pukul 9 pagi esok dan akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Pinang Tunggal selepas solat Jumaat.

Terdahulu, Kosmo! Online melaporkan seorang kanak-kanak lelaki enam tahun ditemukan lemas selepas dipercayai terjatuh ketika melakukan aktiviti riadah kira-kira pukul 5 petang tadi.

Mangsa sebelum itu dikatakan bermain di gigi air bersama seorang rakannya sebelum tergelicir dan terjatuh ke sungai dengan anggaran kedalaman kira-kira lima meter. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN