fbpx
PEARLY (kiri) dan Thinaah berdepan tentangan cukup sengit sebelum membenam cabaran beregu Taiwan untuk mara ke suku akhir Kejohanan Asia. - AFP

BAC2026: Pearly-Thinaah ‘mandi peluh’ ke suku akhir

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Beregu wanita negara, Pearly Tan-M. Thinaah dipaksa mengerah segala kudrat sebelum meneruskan kemaraan ke suku akhir pada Kejohanan Badminton Asia (BAC) 2026 di Ningbo, China.

Pada pusingan kedua yang berlangsung di Pusat Sukan Olimpik Ningbo sebentar tadi, naib juara dunia itu terpaksa bekerja keras sebelum menang 21-19, 19-21, 24-22 ke atas pasangan Taiwan, Hsu Yin Hui-Lin Jhih Yun.

Menggalas status sebagai pilihan kedua kejohanan, Pearly-Thinaah tersentak seketika apabila ketinggalan 6-11 di set pertama sebelum kembali memperkemaskan permainan dan menyamakan kedudukan 15-15.

Walaupun saling bertukar servis, namun gandingan No.2 dunia itu tidak hilang fokus dan mengekalkan rentak permainan sebelum menang 21-19, sekali gus meraih tonik tambahan untuk aksi set kedua.

Bagaimanapun, Yin Hui-Jhih Yun enggan mengibar ‘bendera putih’ terlalu awal apabila menampilkan aksi lebih kemas di set kedua dan menyaksikan mereka menguasai hampir keseluruhan permainan.

Pearly-Thinaah terus mengekori dan cuba merapatkan kedudukan 17-18, namun beregu Taiwan itu tidak mudah mengalah sebelum menang 21-19, sekali gus mengheret perlawanan ke set penentuan.

Bersambung set ketiga, perlawanan menjadi semakin rancak apabila kedua-dua pasukan saling berbalas serangan selain jurang mata yang tidak terlalu besar membuatkan aksi lebih menarik.

Ketika aksi ‘deuce’, Yin Hui-Jhih Yun beberapa kali berada di mata akhir, namun Pearly-Thinaah berjaya mengekalkan fokus sebelum memastikan kemaraan ke suku akhir menerusi kemenangan 24-22.

Menjelang pusingan suku akhir esok, anak-anak buah Rosman Razak itu akan bertemu sama ada beregu Jepun, Rui Hirokami-Sayaka Hobara ataupun pasangan tuan rumah, Li Yi Jing-Luo Xu Min. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN