NILAI – Seorang pemuda hiba apabila terpaksa mengambil menerima anugerah anumerta bagi adiknya, Allahyarham Muhammad Zharif Aiman Mohd Bakthiar, 20, yang meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya pada September tahun lalu.
Muhammad Irfan Syafiq, 25, berkata, kehadirannya ke Majlis Konvokesyen Kolej Vokasional Kementerian Pendidikan kali Ke-10 itu bukan sesuatu yang mudah, apatah lagi mengenangkan ia sepatutnya menjadi detik paling bermakna buat arwah.
“Perasaan saya bercampur baur. Berat nak datang, tapi ini untuk dia. Kalau arwah ada, mesti dia yang paling gembira hari ini,” katanya ketika ditemui Kosmo!.
Allahyarham yang merupakan pelajar tahun akhir Diploma Teknologi Elektrikal dari Kolej Vokasional Dungun, sebelum itu baru sahaja menamatkan hari terakhir latihan industri di Jenagor, Hulu Terengganu.
Menurut beliau, kehilangan adik ketiganya itu amat dirasai kerana arwah bukan sahaja seorang yang rapat dengannya sejak kecil, malah seorang anak yang sangat berdikari dan tidak pernah menyusahkan keluarga.
“Dia jenis tak suka minta duit daripada mak ayah. Kalau susah, dia akan cari kerja sambilan. Di rumah pun dia ringan tulang, banyak bantu,” katanya.
Pada majlis itu seramai 10,808 orang graduan Kolej Vokasional daripada 84 kolej vokasional diraikan, merangkumi 32 program pengajian seluruh negara dan telah dirasmikan oleh Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek. – KOSMO! ONLINE














