PETALING JAYA – Tular di media sosial satu rakaman memaparkan seorang lelaki didakwa diturunkan dari sebuah pesawat Malaysia Airlines selepas dipercayai melakukan gangguan tidak senonoh terhadap seorang pramugari.
Menerusi hantaran yang dimuat naik penyanyi rap dan pempengaruh, Ariz Ramli atau lebih dikenali sebagai Caprice di Instagram, pada mulanya berlakunya perbalahan antara pelancong tersebut dan seorang pramugari dalam bahasa Mandarin.
Bagaimanapun, pelancong tersebut difahamkan tidak mahu turun dari pesawat meskipun telah diarahkan berbuat demikian sehingga memaksa petugas keselamatan penerbangan membawa lelaki itu keluar.
Berdasarkan kapsyen yang dimuat naik bersama video itu, lelaki terbabit didakwa merupakan pelancong dari China dan tindakannya mencetuskan kemarahan ramai selepas dia dikatakan menepuk punggung seorang kru kabin.
Di ruangan komen, seorang pengguna media sosial bernama @Zyc_yucheng sempat menterjemahkan perbualan bahasa Mandarin antara pramugari dan pelancong lelaki itu.
“Dia (pelancong) cakap dia tak ada buat sesuka hati. Dia cuma tepuk ringan-ringan je dekat pinggul pramugrari. Takkan sikit-sikit je tak boleh, (dia kata) hubungan China-Malaysia kan rapat,” tulis @Zyc_yucheng.
Di penghujung video, beberapa anggota keselamatan penerbangan akhirnya dilihat mengiringi lelaki terbabit keluar dari pesawat sambil disaksikan penumpang lain dari tempat duduk masing-masing.
Sementara itu, ruangan komen dibanjiri reaksi orang ramai yang mengecam perbuatan berkenaan dan menyifatkannya sebagai tidak beradab serta tidak menghormati wanita.
“Tak kira siapalah, yang beli tiket hanya bayar harga tiket. Harga tiket tak bermaksud kau boleh buat semua staf macam kuli kau. Ikut jelah prosedur yang ditetapkan. Sendiri buat masalah kan,” komen Khairul.
“Terbaik pramugari tidak mendiamkan perkara ini. Jangan normalkan perbuatan macam ini, padan muka kena turun kapal terbang,” komen Miss Leyah.
Perkongsian itu turut menerima pujian ramai yang menyifatkan tindakan pantas pasukan keselamatan penerbangan sebagai wajar dalam memastikan keselamatan serta ketenteraman kru dan penumpang sentiasa terpelihara.
Seorang pengguna memaklumkan individu yang dilihat dalam video bukan anggota polis, sebaliknya pasukan keselamatan penerbangan atau Aviation Security (AVSEC) di bawah Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB).
“Tindakan itu dipercayai diambil selepas isyarat dibuat dari juruterbang kepada menara kawalan trafik udara sebelum dimaklumkan kepada pasukan operasi lapangan terbang dan seterusnya kepada pasukan AVSEC yang bertugas,” komen Puteri Abdullah. – KOSMO! ONLINE














