DUNGUN – Kejadian sebuah kereta jenis Perodua Viva yang terbabas di Kilometer (KM) 339.9, Lebuh Raya Pantai Timur 2 (LPT2) berhampiran susur keluar Paka, di sini hari ini membongkar kegiatan penyeludupan daun ketum.
Pemangku Ketua Polis Daerah Dungun, Deputi Superintendan Jumaidy Bah Chong Weh berkata, dalam kejadian pukul 8.30 pagi itu, kereta dipandu lelaki berusia 29 tahun tersebut dalam perjalanan ke Kuantan, Pahang dari Kuala Terengganu.
“Setibanya di lokadi kejadian, kereta tersebut dikatakan hilang kawalan sebelum terbabas dan merempuh penghadang jalan.
“Pemandu kereta mengalami kecederaan parah dan pemeriksaan lanjut menjumpai beberapa bungkusan plastik dipercayai berisi daun ketum yang tercampak keluar dari kenderaan berkenaan.
“Pemeriksaan di dalam but kereta itu turut menemukan barangan sama,” katanya ketika ditemui Kosmo! di sini hari ini.
Jumaidy berkata, suspek dihantar ke Hospital Dungun sebelum dirujuk ke Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu untuk mendapatkan rawatan. Kes disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952. – KOSMO! ONLINE














