BENTONG- Seramai 18 rakan media sangat bertuah kerana dapat menikmati durian Musang King yang baru dituai di kebun di sekitar Bilut Hills Eco Resort di sini menandakan musim durian sudah kembali di kawasan pelancongan popular itu.
Ini adalah salah satu aktiviti menarik yang disusun dalam program Trip Apresiasi Media anjuran LBS Bina Group Berhad (LBS) melalui Jabatan Komunikasi Korporatnya selama dua hari satu malam, di resort berkenaan bersempena ulang tahun syarikat tersebut yang ke-65.
Pengarah Eksekutif LBS, Datuk Cynthia Lim berkata, sokongan berterusan daripada media telah menjadi pemangkin kejayaan LBS, termasuk pengiktirafan sebagai salah satu Syarikat Terurus Terbaik selama empat tahun berturut-turut.
Sehubungan itu, pihaknya kekal komited untuk memupuk hubungan kukuh dan bermakna bersama rakan media dan menantikan kerjasama berterusan pada masa akan datang.

Selain berihat dan bersantai di resort yang menawarkan pemandangan menarik, tenang jauh daripada tekanan bekerja dan suasana hiruk pikuk di tengah bandar raya itu, segala aktiviti yang disusun atur oleh Ketua Komunikasi Korporat, LBS, Norazian Abdul Aziz bersama kumpulannya, berjalan dengan meriah dan lancar sekali.
Lebih menarik, pertandingan karaoke yang melibatkan penyertaan semua orang dalam kategori berkumpulan telah berjaya menghangatkan suasana malam di resort yang damai itu yang mana masing-masing menunjukkan bakat nyanyian dan tarian masing-masing.
Hadiah yang ditawarkan oleh LBS dan juga tuan rumah iaitu, syarikat Bilut Hills Eco Resort begitu lumayan dan menarik.

Selain itu, program apresiasi media yang julung-julung kali itu juga turut diceriakan dengan penyertaan semua petugas dalam aktiviti kembara ATV, ‘Flying Fox’ dan juga memanah.
Mengulas mengenai program tersebut, Norazian berkata, melalui program ini, LBS meningkatkan lagi tanda penghargaan dengan pendekatan yang lebih santai, dengan suasana yang penuh ceria bagi mewujudkan pengalaman bermakna bersama rakan media.
“Berlandaskan kepada nilai sebenar penghargaan, program ini dirangka dengan teliti untuk benar-benar mengiktiraf sumbangan tidak ternilai rakan media, yang telah memainkan peranan penting dalam membentuk naratif awam dan meningkatkan profil korporat LBS.
“Kami amat menghargai sumbangan tidak ternilai rakan media dan memahami sepenuhnya peranan mereka sebagai jambatan penting dalam menyampaikan maklumat korporat kami kepada khalayak lebih luas.
“Jadi, program ini dirancang dalam suasana santai untuk memupuk hubungan lebih erat dan mengukuhkan lagi hubungan silaturahim,” jelasnya. -KOSMO! ONLINE














