Keluhan demi keluhan disuarakan, harapan mereka ada yang membantu. Kenaikan harga diesel memberi tamparan hebat kepada semua pihak terutamanya yang bergantung dengan bahan api itu.
“Sebelum ini kami boleh dapat RM3,000 hingga RM4,000 sebulan kini RM1,000 pun susah”. Itu antara keluhan pemandu bas persiaran yang terkesan akibat kenaikan harga subsidi diesel sejak bulan lalu.
Rata-rata mereka mempunyai keluarga besar untuk ditanggung dan mereka penanggung tunggal.
Penurunan pendapatan bulanan itu berikutan tempahan bas persiaran yang dibatalkan pelanggan kerana harga sewa bas dinaikkan. Berdasarkan laporan, pakej sewaan bas terpaksa dinaikkan antara 30 hingga 40 peratus.
Pengusaha bas persiaran tidak mendapat keistimewaan di bawah Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS), justeru menyebabkan kos perniagaan mereka semakin meningkat sementara pemandu hidup dalam kebimbangan.
Timbalan Persatuan Bas Pantai Timur (Pebat), Wan Mohd. Nuhairi Wan Hamat sebelum ini dilaporkan berkata, sekiranya harga diesel terus meningkat tanpa pemberian subsidi, pengusaha-pengusaha bas persiaran di Pantai Timur dijangka mampu bertahan dalam tempoh dua bulan sahaja lagi.
Permintaan mereka adalah kerajaan mempertimbangkan subsidi diesel pada kadar RM1.88 atau RM2.15 sama seperti penerima SKDS yang lain. Jika dapat direalisasikan pastinya banyak periuk nasi mampu diselamatkan.
Di beberapa negeri, pemilik jentera berat termasuk mesin padi turut mengeluh apabila perlu mengeluarkan bajet tinggi untuk kos perniagaan. Jika sebelum ini kadar penggunaan diesel bagi jentera berat termasuk jengkaut adalah RM400 sehari kini telah melonjak kepada RM900.
Di sisi lain, pemilik pikap mengambil langkah awal mengurangkan penggunaan kenderaan itu susulan tidak tahan untuk mengeluarkan belanja sehingga RM500 sebulan.
Tindakan menjual pikap atau kenderaan yang menggunakan diesel pada masa ini dirasakan tidak sesuai. Bukan kerana sayang, namun harga yang jatuh merudum.
Perkembangan itu menyebabkan ada pemilik yang ‘merehatkan’ kenderaan di parkir rumah. Ada juga menukar mod pengangkutan kepada pengangkutan jimat minyak termasuk motosikal untuk menyelesaikan urusan harian.
Bukan mereka sahaja, pengguna kenderaan petrol juga ada yang mula menukar mod pengangkutan kepada motosikal sekali gus menjimatkan penggunaan petrol yang kini diselaraskan kepada 200 liter sebulan.
Situasi itu menyebabkan kedai dan bengkel motosikal kini menjadi tumpuan orang ramai. Selimut yang selama ini membungkus motosikal mula dibuka dan kenderaan itu dihantar ke bengkel untuk dibaiki.
Motosikal jenis skuter paling ramai dicari dengan anggaran harga RM10,000 untuk terpakai.
Melihat saranan penjimatan oleh kerajaan, bolehlah kita sekat ‘perangai’ suka melayari media sosial di waktu malam dan add to chart barangan bagi mengawal perbelanjaan.
Jika sebelum ini, kita selalu reward diri dengan barangan mewah dan mengunjungi lokasi viral mungkin boleh difikirkan reward yang tidak memerlukan belanja yang tinggi. Sekalipun perang terhenti, namun sikap berjimat-jimat sangat dituntut. Rancang perbelanjaan agar tidak menjadi beban.















