PUTRAJAYA – Kementerian Pendidikan (KPM) menawarkan tempat kepada semua 6,717 calon yang memperoleh 10A ke atas dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 untuk mengikuti program matrikulasi bagi sesi 2026/2027.
KPM dalam satu kenyataan berkata, tawaran secara automatik itu diberikan kepada semua calon yang memohon matrikulasi tanpa mengira kaum dan latar belakang.
“Pada masa sama, kuota kemasukan 90 peratus Bumiputera ke program matrikulasi kekal dan tidak terjejas,” katanya hari ini.
Sebelum ini, seramai 13,779 atau 3.55 peratus calon yang menduduki SPM 2025 merekodkan keputusan cemerlang dengan memperoleh kombinasi gred A+, A dan A- dalam semua mata pelajaran.
Selain itu, seramai 376 calon pula memperoleh keputusan cemerlang gred A+ dalam semua mata pelajaran. – KOSMO! ONLINE














