TEHRAN – Iran menyatakan hari ini bahawa pelan 10 perkara untuk menamatkan perang dengan Amerika Syarikat (AS) akan memerlukan Washington menerima program pengayaan uraniumnya dan pemansuhan semua sekatan ke atas negara itu.
Tehran dalam satu kenyataan berkata, pelan itu memerlukan kawalan berterusan Iran ke atas Selat Hormuz, penerimaan pengayaan uranium serta pemansuhan semua sekatan primer dan sekunder.
Tuntutan utama lain dalam pelan tindakan yang ditawarkan melalui pengantara di Pakistan itu termasuk pengunduran tentera AS dari Asia Barat, penamatan serangan ke atas Iran dan sekutunya, pembebasan aset Tehran yang dibekukan serta resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang menjadikan sebarang perjanjian dipatuhi.
“Perlu diingatkan bahawa penerimaan resolusi sedemikian akan menjadikan semua perjanjian ini terikat di bawah undang-undang antarabangsa dan akan menjadi kemenangan diplomatik yang penting bagi Iran,” kata Majlis Keselamatan Negara Tertinggi negara itu dalam satu kenyataan.
Rancangan itu juga menyeru perluasan kawalan Iran ke atas Selat Hormuz, saluran untuk kira-kira satu per lima daripada minyak dunia yang disekat kepada trafik maritim sejak bermulanya konflik lima minggu itu.
Pengumuman itu dibuat selepas Pakistan membuat cadangan saat akhir untuk mengelakkan serangan besar-besaran AS ke atas Iran, dengan Presiden Donald Trump memberi amaran bahawa ‘seluruh tamadun akan mati malam ini’ (semalam), melainkan perjanjian dipersetujui.
Trump bagaimanapun mengumumkan kira-kira 90 minit sebelum tarikh akhir diberikannya bahawa Washington menerima rancangan itu dan ia kelihatan seperti ‘asas yang boleh digunakan untuk berunding.’
Presiden daripada Parti Republikan itu berkata dalam pengumuman terdahulunya di rangkaian Truth Social bahawa Iran telah memberikan cadangan 10 perkara yang ‘boleh diterima pakai’. – AFP














