PETALING JAYA – Pemain import Selangor FC, Alex Agyarkwa secara terbuka menyuarakan kesediaan untuk menyarung jersi skuad Harimau Malaya jika proses naturalisasi berjaya dilengkapkan selepas hampir lima tahun menetap di bumi Malaysia.
Menurut Agyarkwa, segala keputusan kini terletak sepenuhnya di tangan pihak pengurusan kerana syarat Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) yang membenarkan pemain kerakyatan selepas menetap lima tahun secara berturut-turut hampir lengkap.
Pemain kelahiran Ghana itu berkata, Malaysia sudah dianggap sebagai rumah kedua sejak berhijrah dari negaranya pada tahun 2021 dan cukup selesa untuk berbakti bersama skuad kebangsaan jika diberi peluang.
“Saya sudah lama berada di sini dan saya sangat selesa. Jika diberi peluang, sudah tentu saya mahu beraksi bersama Harimau Malaya,” katanya ketika ditemui pada Sambutan Hari Raya Aidilfitri 2026 anjuran Yayasan Raja Muda Selangor dan Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS), hari ini.
Mengulas lanjut, Agyarkwa yang beraksi di posisi tengah mengakui sentiasa mengikuti perkembangan skuad kebangsaan dibawah Peter Cklamovski.
“Saya suka corak permainan skuad kebangsaan di bawah jurulatih ini (Cklamovski) dan saya percaya boleh membantu pasukan, terutama di bahagian tengah jika diberi peluang,” katanya.
Kosmo! sebelum ini melaporkan empat pemain import Liga Super berpotensi untuk menguatkan skuad Harimau Malaya selepas lima tahun melebarkan karier dalam arena bola sepak tempatan.
Selain Agyarkwa, tiga pemain lain adalah pertahanan KL City, Giancarlo Gallifuoco dan dua tonggak Johor Darul Ta’zim (JDT), Bergson da Silva dan Manuel Hidalgo.














