CHERAS – Sebuah kilang pembuatan tilam di Kampung Batu 10 di sini musnah dalam kebakaran malam tadi.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 9.32 malam.
Menurutnya, jentera pertama dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bandar Tun Hussein Onn tiba di lokasi kira-kira pukul 9.49 malam.
“Kebakaran melibatkan sebuah kilang membuat tilam jenis bangunan kelas A berkeluasan kira-kira 200 x 100 kaki persegi.
“Dianggarkan kira-kira 80 peratus daripada struktur kilang tersebut telah terbakar,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, operasi pemadaman turut dibantu oleh anggota dari BBP Pandan, BBP Seri Kembangan dan BBP Kajang.
Seramai 29 anggota bomba dengan kekuatan empat jentera FRT, dua EMRS serta sebuah jentera tangki air terlibat dalam operasi tersebut. – KOSMO! ONLINE














