WASHINGTON – Perkhidmatan Rahsia Amerika Syarikat (AS) menyatakan bahawa pihaknya sedang menyiasat kejadian tembakan berhampiran Lafayette Park yang terletak di seberang jalan dari White House semalam, lapor akhbar The Guardian.
Tiada kecederaan dilaporkan dan tiada suspek ditemui selepas pencarian di taman tersebut serta kawasan sekitarnya selepas tengah malam, kata agensi itu dalam satu kenyataan di media sosial.
Ketika kejadian, Presiden Donald Trump sedang bercuti hujung minggu di White House, namun belum memberikan sebarang komen mengenai insiden tersebut.
“Operasi White House kekal seperti biasa tetapi keselamatan di kawasan ini dipertingkatkan,” kata Perkhidmatan Rahsia.
Taman itu telah dipasang pagar selama berminggu-minggu untuk kerja pengubahsuaian.
Menurut Perkhidmatan Rahsia, pihaknya bekerjasama dengan polis tempatan untuk memastikan keselamatan di lokasi tersebut. – AGENSI














