KUALA LUMPUR – Polis sedang mengesan sekumpulan lelaki yang dipercayai terlibat dalam kejadian kekecohan di sebuah pusat hiburan di Cheras selepas merempuh premis tersebut menggunakan sebuah lori.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada pukul 7.30 malam, semalam.
Menurutnya, insiden tersebut dipercayai berlaku lebih awal pada hari sama kira-kira pukul 1.30 tengah hari.
“Siasatan awal mendapati kumpulan suspek bertindak merempuh pintu pagar premis menggunakan sebuah lori sebelum menceroboh masuk dan melakukan khianat dengan memecahkan barangan di dalam premis tersebut,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan dan Seksyen 148 kanun sama.
Tambahnya, usaha mengesan semua suspek yang terlibat sedang giat dijalankan. – KOSMO! ONLINE
View on Threads














