ALOR SETAR – Dua pelajar Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Perlis yang lemas ketika berkayak di Pantai Merdeka, Sungai Petani dikenal pasti sebagai Christopher Ling Jia Siang, 21, dan Joey Ling Lin Siang, 20.
IPG Kampus Perlis dalam hantaran di Facebook menzahirkan ucapan takziah kepada ahli keluarga mendiang yang merupakan penuntut Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PISMP) Pendidikan Jasmani pengambilan Ogos 2025.
“Semoga seluruh ahli keluarga mendiang diberikan ketabahan dan kekuatan dalam menghadapi ujian ini,” katanya.
Sementara itu, jasad dua pelajar tersebut dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini untuk proses bedah siasat.
Tinjauan mendapati warga pendidik dan pengurusan IPG Kampus Perlis termasuk Pengarahnya, Leftenan Kolonel Bersekutu (PA) Amran Mahadi berada di Jabatan Forensik HSB. Keluarga mendiang dilaporkan dalam perjalanan dari Sarawak dan dijangka tiba di HSB petang ini. – KOSMO! ONLINE














