KUALA KANGSAR – Kerajaan kini menanggung subsidi petrol dan diesel berjumlah RM6 bilion sebulan susulan peningkatan harga bahan api ekoran perang Iran dan Amerika Syarikat (AS).
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kos itu adalah untuk menjayakan program subsidi petrol RON95 (BUDI95) serta pemberian subsidi diesel kepada para petani, nelayan dan pengangkutan awam.
Beliau membidas pihak yang cuba menafikan usaha keras kerajaan dalam mengatasi kesan langsung ekonomi berhubung peningkatan harga minyak.
“Berapa jumlah subsidi satu bulan? Satu bulan RM6 bilion. Bayangkan kalau 10 bulan, RM60 bilion.
“Nak cukai orang susah, orang marah. Jadi inilah masa untuk kita bincang cara baik. Parti kerajaan, parti pembangkang, jangan bebal tak tentu arah. Nak jadi pemimpin masyarakat, nak utarakan komen harus berdasarkan ilmu,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap ketika melawat sekolah Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK) dan SMK Clifford di sini hari ini.
Dunia termasuk Malaysia kini dilanda kegawatan bahan api susulan serangan AS dan Israel terhadap Iran sehingga mengganggu Selat Hormuz yang menjadi laluan utama eksport komoditi minyak.
Anwar berkata, Malaysia masih mampu mengekalkan harga petrol serendah RM1.99 seliter sedangkan paras harga di tempat lain termasuk negara jiran naik melambung.
“Di Singapura RM10, itu ada minyak. Ada negara sudah melaksanakan catuan. Di sebuah negara ASEAN, 400 stesen minyak ditutup. Renungkan perkara ini, kerana kita tidak terkecuali daripada permasalahan ini.
“Sebab itu saya bagi arahan termasuk batalkan semua lawatan menteri-menteri ke luar negara kerana kos pengangkutan sudah tinggi,” katanya. – KOSMO! ONLINE














