ISLAMABAD – Pengangkutan awam milik kerajaan di ibu negara, Islamabad yang juga wilayah paling ramai penduduk di Pakistan adalah percuma untuk bulan hadapan, kata beberapa pegawai, selepas harga bahan api naik mendadak berikutan perang Iran.
“Semua pengangkutan awam di Islamabad dijadikan percuma untuk orang awam bagi tempoh 30 hari akan datang, bermula Sabtu(hari ini),” kata Menteri Dalam Negeri Mohsin Naqvi di laman X.
Kerajaan akan menanggung beban subsidi sebanyak 350 juta rupee (RM5 juta), tambahnya.
Pengumuman itu dibuat selepas protes jalanan dan barisan panjang motosikal di stesen-stesen minyak tercetus berikutan keputusan kerajaan menaikkan harga petrol sebanyak 42.7 peratus kepada 485 rupee (RM7.02) seliter.
Perdana Menteri Shehbaz Sharif menarik balik keputusan itu lewat semalam, dengan berkata, beliau mengurangkan levi dan menetapkan harga petrol pada 378 rupee (RM5.47) seliter.
“Pengurangan ini akan berkuat kuasa sekurang-kurangnya selama sebulan,” kata Sharif dalam ucapan negara yang disiarkan di kaca televisyen.
“Saya berjanji saya tidak akan berehat sehingga kehidupan anda kembali normal,” tambahnya.
Sharif bagaimanapun tidak mengurangkan harga diesel, yang kekal pada 520 rupee (RM7.53) seliter berikutan kenaikan harga sebanyak 54.9 peratus. – AFP














