fbpx
Nur Izzati dilaporkan hilang ketika menuruni Bukit Asa, Hulu Bernam sejak semalam.

Masuk hari kedua, kehilangan Nur Izzati kekal misteri selepas minta kunci kereta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

HULU SELANGOR – Seorang remaja perempuan dilaporkan hilang ketika menuruni Bukit Asa, Hulu Bernam di sini selepas terpisah daripada ahli keluarganya semasa melakukan aktiviti pendakian semalam.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Asisten Komisioner Ibrahim Husin berkata, pihaknya menerima maklumat daripada Balai Bomba dan Penyelamat Tanjung Malim, Perak berhubung kejadian itu kira-kira pukul 2.30 petang.

Menurutnya, mangsa yang dikenali sebagai Nur Izzati Humaira Azizul, 18, memulakan aktiviti pendakian bersama enam ahli keluarganya pada pukul 8.40 pagi.

“Siasatan awal mendapati sewaktu dalam perjalanan turun kira-kira pukul 10.50 pagi, semua pendaki berhenti berehat sebelum mangsa meminta kunci kereta dan beg galas daripada ibunya kerana mahu turun terlebih dahulu.

“Remaja itu memaklumkan dia penat dan tidak tahan panas serta mahu berehat di dalam kereta,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, ibu mangsa tiba di tempat parkir kira-kira pukul 11.35 pagi bagaimanapun mendapati anaknya tiada.

Katanya, kali terakhir remaja itu memakai tudung labuh berwarna coklat, baju hijau gelap berlengan panjang, seluar hitam dan kasut biru.

“Anggota Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Kubu Bharu, Ibu Pejabat Polis Daerah Hulu Selangor dan Balai Polis Hulu Bernam membuka Pusat Kawalan Tempat Kejadian bagi menjalankan operasi mencari dan menyelamat,” ujarnya.

Tambahnya, operasi pencarian dilakukan dari pukul 4.38 petang hingga 11.53 malam semalam dalam keadaan hujan renyai sebelum disambung semula pada pukul 9.30 pagi tadi.

“Seramai 51 anggota daripada pelbagai agensi termasuk bomba, polis, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, malim gunung, Universiti Pendidikan Sultan Idris, Jabatan Kebajikan Masyarakat serta sukarelawan terlibat dalam operasi pencarian,” katanya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai remaja itu diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Hulu Selangor di talian 03-60641222 atau Balai Polis Hulu Bernam menerusi 05-4596389 bagi membantu siasatan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN