fbpx
Keadaan kebakaran kawasan rumah penduduk di Kampung Chabang Tiga, Kedai Buloh dekat Kota Bharu malam tadi. Foto IHSAN BOMBA

Lapan rumah terbakar, 30 tong gas meletup

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KOTA BHARU – Lapan buah rumah terbakar sehingga menyebabkan 30 tong gas petroleum cecair (LPG) yang disimpan di salah sebuah kediaman tersebut meletup dalam kejadian di Kampung Chabang Tiga, Kedai Buloh di sini malam tadi.

Dalam kebakaran kira-kira pukul 9.30 malam itu, lima buah rumah hangus 100 peratus, manakala tiga lagi terbakar 10 peratus.

Ketua Cawangan Pengurusan Operasi dan Balai, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan, Mohd. Farid Ismail berkata, selain itu, turut terbakar sebuah trak pikap jenis Toyota Hilux dan sebuah motosikal berkuasa tinggi yang diletakkan di bawah garaj berhampiran lokasi kejadian.
Menurutnya, pihak bomba menerima panggilan kecemasan kira-kira pukul 9.55 malam sebelum 34 pegawai dan anggota bergegas ke lokasi kejadian untuk memadam kebakaran.

“Operasi memadam kebakaran agak sukar kerana struktur rumah sangat padat dan jaraknya kira-kira semeter antara satu sama lain.

“Bagaimanapun, kebakaran dapat dikawal daripada merebak ke lima lagi rumah yang berdekatan,” katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian di sini malam tadi.

Mohd. Farid memberitahu, kebanyakan penghuni tidak berada di rumah ketika kejadian dan tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

“Operasi memadam kebakaran selesai kira-kira pukul 12 tengah malam. Punca kebakaran dan kerugian yang dialami mangsa masih dalam siasatan,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN